Kesihatan makin pulih, Zamani yakin mampu 'tarik' lagu-lagu Slam


  • Hiburan
  • Sabtu, 27 Nov 2021

(DARI kiri) Eddie, Shah dan Zamani bakal muncul dalam konsert Mentari Muncul Lagi pada Februari 2022.

BAIK bersama kumpulan Slam atau bergerak solo, populariti Zamani tidak pernah jatuh atau tenggelam dengan penyanyi baharu lain.

Namun, disebabkan masalah tulang belakang yang dihadapinya hingga membuatkan dia terpaksa membongkok, Zamani terpaksa memperlahankan sedikit kerjayanya.

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Zamani memberitahu masalah yang dihadapinya semakin pulih hasil rawatan yang dilakukan selama ini.

"Memang penyakit itu mengganggu kemampuan vokal saya sebab tulang belakang itu menghimpit saraf.

"Tetapi Alhamdulillah hasil rawatan berterusan termasuklah dengan menggunakan katil Ceragem, kesihatan saya semakin baik.

"Sebab itu saya yakin untuk mengadakan konsert pada tahun hadapan. Kalau ikutkan tarikh asal iaitu pada Januari lalu, memang ketika itu masih sakit," katanya kepada Majoriti.

Zamani berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media konsert Slam Mentari Muncul Lagi yang akan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur 12 Februari depan.

[800x600px] Slam_Poster

Slam menjanjikan lagu-lagu popular dengan susunan muzik baharu bakal disajikan pada malam konsert.

Untuk rekod, penyanyi yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang sebenarnya menghidap penyakit skoliosis yang membuatkan tulang belakang melengkung.

Bakal beraksi selama dua jam di atas pentas, Zamani berkata, dia akan memulakan latihan secepat mungkin untuk memastikan stamina dan hasil yang terbaik buat peminatnya.

"Saya sebenarnya tidak mahu faktor kesihatan dijadikan alasan untuk kami tidak memberikan yang terbaik buat peminat.

"Kalau boleh saya mahu tutup buku terus mengenai masalah kesihatan ini dan beri fokus sepenuhnya untuk persediaan dan ketika konsert itu nanti," katanya.

Mengulas mengenai konsert itu, Shah memberi keyakinan yang kelainan akan dipersembahkan pada malam tersebut.

“Kalau sebut tentang kelainan, kami boleh katakan susunan muzik akan lebih mantap lagi dan kita membesarkan lagi muzik dan bunyi dengan penambahan instrument.

"Untuk konsert kali ini juga, kami akan menggunakan teknologi moden dengan menyelaraskan visual dan teknik pencahayaan.

"Rasanya ini merupakan sebuah ‘stepping stone’ untuk Slam memberikan satu perkara baharu untuk para peminat," katanya.

Tiket bagi Konsert Slam Mentari Muncul Lagi bermula serendah RM130 hingga RM700 dan tempahan tiket boleh dilakukan menerusi www.myticket.asia.

Peminat-peminat Slam juga boleh membeli T-shirt eksklusif apabila membeli tiket konsert di laman web tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram