Lelaki ditahan berlagak samseng, ajak polis gaduh


  • 112
  • Isnin, 22 Nov 2021

HASIL semakan rekod lampau mendapati suspek warganegara tempatan itu mempunyai dua rekod jenayah lampau. — Gambar hiasan

TINDAKAN samseng seorang pengguna jalan raya yang membuat provokasi terhadap pihak polis dengan melontarkan kata-kata kesat selain menarik kolar baju anggota semasa pemeriksaan dilakukan terhadapnya, memakan diri selepas suspek ditahan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sepasukan anggota polis dari cawangan kereta peronda polis MPV Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya cuba menahan suspek yang memandu kereta jenis Volkswagen Polo kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu Jalan Tol Subang pada 1.15 pagi.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun enggan berbuat demikian hingga memaksa polis mengekorinya sebelum kereta suspek berhenti secara mengejut di KM 2.6 Jalan Lapangan Terbang Subang menghala Lebuh Raya Persekutuan.

"Semasa hendak menjalankan pemeriksaan, suspek yang disyaki memandu dalam keadaan pengaruh alkohol itu bertindak agresif dengan melontarkan kata-kata kesat kepada anggota polis.

“Suspek juga turut bertindak menarik kolar baju anggota polis bertugas dan mengarahkan anggota tersebut supaya membuka uniformnya untuk bergaduh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamad Fakhrudin berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati, suspek warganegara tempatan berusia 28 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379a Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan ugutan jenayah.

“Hasil ujian saringan awal alkohol yang dijalankan terhadap suspek pula menunjukkan tahap alkohol di bawah paras yang tidak berisiko,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman selama dua hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram