Ejen insurans di Kangar belanja puluhan ribu kumpul koleksi James Bond


  • Hobi
  • Selasa, 23 Nov 2021

MUSHTARI bersama koleksinya. — Bernama. 

SEORANG ejen insurans di Kangar, Perlis, sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit untuk mengumpul koleksi barangan berinspirasikan filem ejen perisikan terkenal dunia, James Bond sejak hampir 40 tahun lepas.

Mushtari Mohamad, 49, berkata minat terhadap sekuel filem fiksyen kegilaan ramai yang antaranya pernah dilakonkan oleh mendiang Sean Connery dan Daniel Craig itu bermula selepas dia menonton filem James Bond: For Your Eyes Only yang dilakonkan Roger Moore pada 1981.

"Arwah bapa sering membeli atau menyewa pita video James Bond dan kenangan paling bermakna ialah kami pernah menonton filem James Bond: A View To Kill lakonan Roger Moore di panggung wayang di Kangar pada 1985," katanya kepada pemberita di sini.

Mushtari berkata antara koleksi barangan dikumpulnya sejak 1982 termasuklah majalah, replika kenderaan dan pistol sering digunakan ejen perisikan itu serta koleksi piring hitam runut bunyi filem James Bond yang kesemuanya diangarkan bernilai lebih RM25,000.

james bond

Mushtari berkata antara koleksi barangan dikumpulnya ialah piring hitam

Katanya, beliau turut mempunyai koleksi cakera padat digital (DVD) James Bond dari filem keluaran pertama iaitu Dr No pada 1962 lakonan Sean Connery hingga sekuel ke-24, Spectre (2015) lakonan Daniel Craig.

"Koleksi pertama James Bond yang saya beli ialah model helikopter jenama Corgi daripada (sekuel) For Your Eyes Only dan setakat ini saya ada lebih 200 koleksi (barangan) James Bond ini.

"Kebanyakan koleksi saya beli dalam talian seperti di Facebook, e-Bay dan Amazon dan antara koleksi paling mahal dibeli ialah Box Set Bond 50: The Complete 22 Film Collection (DVD) yang berharga RM500," kata Mushtari.

Katanya, ada pihak menawarkan harga lebih tinggi untuk mendapatkan koleksi DVD berkenaan, namun dia belum berhasrat untuk menjualnya.

Menurut Mushtari, semua koleksi itu disimpan di Galeri Seni Piring Hitam miliknya terletak di Taman Sena Indah di sini, yang turut menempatkan lebih 5,000 keping koleksi piring hitam pelbagai jenis muzik dari seluruh dunia.

Beliau mengalu-alukan peminat filem James Bond yang ingin melihat koleksinya untuk datang ke galeri piring hitamnya, namun diminta untuk membuat janji temu terlebih dahulu. — Bernama.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mushtari Mohamad, koleksi, James Bond, DVD, galeri