Bayi setahun antara 11 mangsa terkandas di air terjun Sungai Pinang


  • 112
  • Isnin, 22 Nov 2021

KESEMUA mangsa yang terkandas di seberang sungai dilihat berlindung di sebuah pondok sebelum diselamatkan. — Bomba

LAPAN orang kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia setahun antara 11 mangsa yang dilaporkan terkandas di kawasan air terjun Sungai Pinang, Jalan Batang Kali menghala Genting, lewat petang Isnin.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa terdiri daripada dua buah keluarga dipercayai dari Sungai Buloh, berkunjung ke air terjun itu untuk berkelah namun terkandas susulan kejadian kepala air.

Katanya, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dalam operasi yang tamat kira-kira pukul 9.47 malam.

“Mangsa terlibat seorang lelaki dan wanita dewasa masing-masing berusia 39 tahun selain seorang warga emas berumur 65 tahun.

“Selain itu ialah sekumpulan kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun serta seorang bayi lelaki yang baru berumur setahun,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Norazam berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.26 malam.

Menurutnya, seramai lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa terkandas di seberang sungai dan mereka berada dalam keadaan selamat dengan berlindung di sebuah pondok,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram