Mana Joh Wid? Penyokong Sabah FC berang lepas hilang 3 tonggak utama 


  • Podium
  • Jumaat, 30 Jan 2026

Mujagic sertai Sabah pada awal musim ini dan berhasil menjaringkan 18 gol selain dua bantuan jaringan dalam 22 penampilan. — Facebook/SabahFC

MUSIM 2025/2026 menyaksikan perjalanan Sabah FC dipenuhi suka dan duka apabila The Rhinos berjaya melangkah ke final Piala FA buat kali pertama dalam tempoh 27 tahun selepas menyingkirkan Selangor FC di peringkat separuh akhir.

Walaupun tewas 0-5 kepada gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final, kejayaan meraih pingat perak dan status naib juara tetap meninggalkan kenangan manis buat penyokong setia Sang Badak.

Namun, kisah indah itu tidak bertahan lama apabila jendela perpindahan Januari menyaksikan Sabah FC kehilangan tiga tonggak utama pasukan iaitu Daniel Ting, Stuart Wilkin dan Ajdin Mujagic.

BACA LAGI:  Komitmen pemain layak ke final Piala FA bayangi kontroversi tunggakan gaji kem Sabah FC

BACA LAGI: Lepas sambar Deeromram dari Selangor, kelab Thailand disebut mahu ikat bek Sabah

Daniel Ting yang berstatus pemain pinjaman daripada JDT meneruskan kariernya bersama kelab Thailand, Ratchaburi FC secara pinjaman sehingga tamat musim 2025/2026.

Sementara itu, Wilkin yang menyarung jersi Sabah sejak musim 2021/2022 kembali ke pangkuan Harimau Selatan bagi memperkukuh jentera tengah juara bertahan Liga Super tersebut.

Situasi bertambah perit apabila penyerang prolifik Sabah, Ajdin Mujagic turut sah menyertai JDT baru-baru ini selepas mencatat 18 gol dalam 22 perlawanan pada kempen 2025/2026.

Kehilangan tiga pemain berpengaruh itu jelas memberi kesan kepada prestasi pasukan apabila Sabah FC gagal melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas tewas dengan agregat 2-5 kepada Melaka FC.

Pemergian pemain-pemain utama serta penyingkiran awal di Piala Malaysia dikaitkan dengan isu tunggakan gaji yang didakwa terus membelenggu kelab naib juara Piala FA 2025 itu.

Susulan perkembangan tersebut, penyokong Sabah FC mula mendesak Pengurus Besar kelab, Md Joh Wid tampil memberikan penjelasan berhubung keadaan semasa skuad The Rhinos.

“Mana Jo Wid? Tolonglah keluar dan beri penjelasan yang jelas dan mudah difahami oleh penyokong Sabah FC. Kami tidak marah, tetapi mahu penjelasan yang bernas daripada kamu sendiri.

“Adakah benar kelab sedang berdepan masalah kewangan termasuk tunggakan gaji pemain? Selesaikan masalah ini, jangan berdiam diri. Adakah gaji Ajdin terlalu tinggi atau ada sebab lain?” kata penyokong Sabah FC, Chealwim Klyon Manzc.

Isu kewangan bukan perkara baharu buat Sabah FC apabila kem Sang Badak dilaporkan berdepan masalah sama sejak tiga musim kebelakangan ini, termasuk pada musim 2023 dan 2024 ketika The Rhinos turut dihimpit isu tunggakan gaji.

Sekiranya ia gagal ditangani dalam masa terdekat, Sabah berisiko kehilangan lebih ramai tonggak utama termasuk Dominic Tan dan Damien Lim, yang mungkin memilih destinasi lebih stabil demi kelangsungan karier masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram