KECOH di media sosial apabila Sabah FC dipercayai sedang berdepan dengan isu tunggakan gaji pemain, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong setia Sang Badak.
Perkara tersebut timbul susulan satu hantaran yang dikongsikan di laman Facebook milik Group Buletin Arena Sabah, yang memberi bayangan bahawa kelab berkenaan mengalami masalah pembayaran gaji pemain.
Difahamkan, tunggakan gaji itu bukan melibatkan tempoh singkat, sebaliknya sudah berlarutan sehingga tiga bulan, satu situasi yang pastinya memberi kesan besar terhadap kebajikan dan mental pemain.
BACA LAGI: Kini milik JDT, impak import Brazil masih dikenang Liga Jepun
BACA LAGI: [VIDEO] Nostalgia kelab lama, Kipre pilih tak rai gol meski jadi hero Penang benam Sang Penyu

Tangkap layar yang tular memaparkan spekulasi mengenai isu tunggakan gaji yang didakwa melanda kelab Sabah FC ketika ini. — Facebook
“Nasib masih semangat latihan, tiga bulan belum kena bayar gaji ini,” menurut hantaran berkenaan yang jelas menggambarkan situasi tidak menentu yang dihadapi skuad The Rhinos ketika ini.
Susulan pendedahan itu, ramai penyokong meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak pengurusan Sabah FC yang didakwa gagal menjaga kebajikan pemain, meskipun pasukan berkenaan mencatat pencapaian membanggakan musim ini.
Pengorbanan pemain Sabah yang bertungkus lumus sehingga berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA bertemu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat seolah-olah tidak dihargai, walaupun kejohanan tersebut merupakan antara yang paling berprestij dalam kancah Liga Malaysia.
Walaupun tewas 0-5 kepada JDT dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada 14 Disember lalu, pencapaian itu tetap bermakna apabila Sabah berjaya menamatkan penantian selama 27 tahun untuk kembali beraksi di pentas final Piala FA.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata penyokong menyuarakan kekecewaan mereka di media sosial berhubung isu berkenaan.
“Tiga bulan gaji belum bayar? Syukur pemain masih bertahan. Pihak pengurusan sepatutnya tidak menangguhkan gaji kerana pemain sudah berusaha sehingga ke final Piala FA," katanya Sylvester Taha.
“Patutlah Sabah kalah dengan JDT di Piala FA, gaji tertunggak menyebabkan semangat pemain terjejas," tambah Wowo Egwowo pula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
