Karier bernyawa semula, Syahmi Safari ketepikan Matt Davies, muncul komponen penting Xisco Munoz


  • Podium
  • Jumaat, 30 Jan 2026

Syahmi kini semakin kerap menjadi pilihan utama untuk menggalas tugas di benteng pertahanan Harimau Selatan. — Facebook/JST

SEKEMBALINYA pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari ke kem Harimau Selatan nyata menjadi khabar paling menggembirakan buat penyokong bola sepak Selatan tanah air yang akhirnya dapat menyaksikan kembali aksinya di atas padang.

Selepas lebih setahun menyepi, Syahmi kembali beraksi bersama JDT selepas terpaksa berehat panjang selama 414 hari akibat kecederaan serius yang dialaminya.

Kepulangannya bukan sahaja menandakan kebangkitan peribadi pemain itu, malah memberi suntikan kekuatan baharu kepada skuad kendalian Xisco Munoz.

BACA LAGI: Seperti dijangka, semua AJK Eksekutif FAM letak jawatan serta-merta

BACA LAGI: ‘Tiada ribut kekal selamanya’, Holgado tarik nafas lega penggantungan ditangguhkan

Syahmi boleh dianggap sebagai pemain ‘idaman’ Xisco Munoz. Facebook/JST

Menariknya, Syahmi kini semakin kerap disenaraikan dalam kesebelasan utama JDT, sekali gus mencerminkan tahap kepercayaan tinggi yang diberikan Munoz terhadap khidmatnya.

Malah, pemain berusia 28 tahun itu boleh dianggap sebagai pemain ‘idaman’ jurulatih dari Sepanyol tersebut apabila lebih diutamakan di posisi pertahanan berbanding Matthew Davies yang sebelum ini sering menggalas peranan berkenaan.

Kekerapan Syahmi diturunkan dalam kesebelasan utama jelas memberi gambaran bahawa kariernya kini berada di landasan kebangkitan selepas melalui tempoh sukar akibat kecederaan.

Sejak kembali daripada kecederaan, Syahmi muncul sebagai antara tonggak penting pasukan.

Pemain pertahanan berketinggian 1.73 meter itu turut memiliki kelebihan tersendiri apabila mampu beraksi di pelbagai posisi, sekali gus memberi lebih fleksibiliti taktikal buat Munoz.

Atas faktor itu, Syahmi diturunkan dalam hampir semua perlawanan termasuk saingan Piala Malaysia kecuali ketika menentang Selangor FC dalam kemenangan 2-0 Liga Super pada 1 Januari lalu apabila dia hanya berada di bangku simpanan.

Sebagai rekod, kepulangan Syahmi ke kem Harimau Selatan turut dihiasi dengan pencapaian manis apabila berjaya meledakkan satu gol ketika JDT membelasah PDRM FC 10-1 dalam aksi pertama Piala Malaysia pada 18 Januari lalu.

Kebangkitan Syahmi Safari bukan sahaja memperkukuh benteng pertahanan JDT, malah menjadi simbol ketabahan dan semangat juang yang kini kembali menyala bersama Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram