‘Sanggup bayar DP Honda Civic berbanding sewa rumah’, sikap timbang rasa tuan rumah akhirnya makan diri


  • Massa
  • Rabu, 14 Jan 2026

Longgokan sampah, termasuk lampin bayi serta ulat dalam peti ais merupakan antara kerosakan ditinggalkan penyewa.

SERING kali kita mendengar pendedahan di media sosial daripada tuan rumah berhubung unit yang ditinggalkan dalam keadaan begitu teruk dan tidak terurus oleh penyewa.

Selain sampah terbiar tidak dibuang, ada juga berkongsi bagaimana kediaman disewakan mengalami kerosakan selepas diserahkan serba lengkap.

Itulah apa dihadapi pengguna Facebook, Munirah Musa pada Selasa yang menyewakan sebuah unit rumah sekitar Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur sejak 13 Mac 2023.

BACA LAGI: Tuan rumah ralat penyewa wanita bujang buat onar, langgar syarat, anjur parti, 'tiba-tiba' bersalin

BACA LAGI: 'Inilah nasib dapat penyewa dari neraka', pemilik kecewa rumah kotor, 'hancur', bil elektrik cecah RM700

Bungkusan air yang ditinggalkan dan dibiarkan sehingga busuk di meja makan. Facebook/Munirah Musa

Dalam perkongsian itu, dia menceritakan penyewa gagal membuat pembayaran sewa untuk kira-kira dua tahun sehingga tunggakan mencecah ribuan ringgit.

Berikutan masalah tersebut, pemilik rumah terbabit mengarahkan penyewa meninggalkan rumah, namun permintaan itu langsung tidak dilayan.

"Bercakap secara baik dan minta keluar sekiranya tidak dapat lagi membuat bayaran sewa. 7 Disember lalu, terima bayaran sewa tetapi tidak semua dan dia berjanji untuk bayar selebihnya.

"Saya tidak lagi terima apa-apa berita, bayaran yang dijanjikan juga tak ditunaikan. Sama seperti sebelumnya, telefon dan mesej tidak berbalas. Mesej terakhir saya kepada Farah, saya datang ke rumah untuk cek kali terakhir dan berharap dia dah keluar dari rumah tu," katanya.

Namun, alangkah terkejutnya pemilik rumah tersebut apabila kediamannya berada dalam keadaan begitu teruk apabila sampah dibiarkan berlonggokan dan beberapa kerosakan terjadi.

Keadaan salah sebuah bilik air yang rosak di tangan penyewa rumah terbabit. Facebook/Munirah Musa

Dalam foto dimuat naik, kelihatan peti ais terbiar sehingga ulat berkerumun di samping terdapat kesan tumbukan di salah satu pintu.

Hantaran berkenaan dibuat Munirah dengan harapan tiada penyewa lain sekitar Setapak sewenang-wenangnya menyewakan rumah mereka kepada individu itu.

Menerusi tinjauan di ruangan komen, orang ramai terkejut melihat situasi tersebut, termasuk Muhammad Zaidani yang sempat berkongsi nasihat kepada mana-mana tuan rumah.

Jelasnya, alasan pernah diterimanya adalah apabila penyewa tidak dapat membayar sewa kerana mahu menggunakan wang sempena sambutan Hari Raya selain sudah dibelanjakan untuk melunaskan bayaran muka kereta Honda Civic baharu.

"Sekiranya semua ini berlaku atas tolak ansur, saya faham kerana timbang rasa ini lama-lama membawa padah. Dari pengalaman saya, buatlah hitam putih dan jangan berunding supaya jika terjadi kes ini, kita boleh dakwa.

Kesan tumbukan kelihatan di pintu bilik sehingga mengakibatkan kerosakan. Facebook/Munirah Musa

"Elakkan bertolak ansur yang melebihi had, kelak akan susahkan kita balik. Akhir sekali, berdoalah agar kita dijauhkan dari penyewa puaka dari neraka begini," tulisnya.

Dia turut menceritakan tindakan lanjut sedang diambil dengan mengheret penyewa ke mahkamah bagi menuntut tunggakan yang masih belum dilunaskan.

Perkongsian kedua-dua pengguna Facebook itu menunjukkan realiti di sebalik risiko menyewakan rumah kepada individu tidak bertanggungjawab.

Ia diharapkan mampu menjadi pengajaran supaya masalah sedemikian tidak berleluasa kerana kerugian beribu-ribu ringgit terpaksa ditanggung tuan rumah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram