Suami hidap autisme gagal sedia nafkah? Ini cara Islam pastikan hak isteri terpelihara


  • Cinta
  • Rabu, 07 Jan 2026

Perkahwinan dengan persetujuan dan sokongan semua pihak memberi harapan dalam memelihara kesejahteraan hidup pasangan. — Gambar hiasan

DALAM Islam, suami dipertanggungjawabkan untuk menyediakan nafkah kepada isterinya.

Namun, bagaimana pula jika suami merupakan individu autisme tahap dua atau tiga yang mempunyai keterbatasan fungsi kognitif? 

Perkara itu disentuh dan diperjelaskan oleh Ikon Anak Istimewa Selangor, Nur Arif Jasmin menerusi satu hantaran di Facebook yang tular pada Selasa.

BACA LAGI: Obses pembedahan plastik hingga sanggup suntik minyak masak, akhirnya begini wajah penyanyi, model Korea

BACA LAGI: Wanita 22 tahun lumpuh, nyaris maut akibat strok, waspada Gen Z juga berisiko terkena serangan otak

Nur Arif menjelaskan bahawa ketidakmampuan individu autisme mengurus kewangan dan membuat keputusan bukan berpunca daripada sikap malas.

“Kalau suami itu autisme tahap dua atau tiga, keadaan mereka tidak sama seperti orang normal. Bahagian otak yang berfungsi membuat keputusan tidak berhubung dengan baik, sebab itu mereka sukar mengurus perkara seperti bajet dan nafkah,” katanya.

Menurut beliau, keadaan itu berkait rapat dengan gangguan executive function di bahagian frontal lobe otak, sebagaimana dihuraikan dalam kajian Autism Spectrum Disorder oleh Catherine Lord (2018).

Mengulas dari sudut fiqh, Nur Arif menegaskan bahawa individu autisme tahap dua dan tiga tidak dikategorikan sebagai majnun (hilang akal sepenuhnya), sebaliknya termasuk dalam kategori ma’tuh, iaitu individu yang mempunyai kefahaman dan komunikasi sosial yang terbatas.

“Walaupun mereka mempunyai kegagalan dalam fungsi eksekutif, mereka tetap tidak dianggap majnun. Dalam mazhab Syafie, perkahwinan masih dibenarkan sekiranya ada maslahah yang jelas seperti penjagaan diri dan pemeliharaan fitrah secara halal,” jelasnya.

Beliau turut menyentuh konsep mahjur ‘alayh, iaitu individu yang disekat daripada mengurus harta sendiri kerana masalah akal atau perkembangan. 

Nur Arif Jasmin merupakan pelajar autisme yang kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Pengajian al-Quran dan Sunnah. — UIAM

Dalam situasi ini, wali bertanggungjawab sepenuhnya mengurus harta anak, termasuk memastikan nafkah isteri ditunaikan.

“Kalau suami autisme itu ada sumber kewangan seperti bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau harta keluarga, wali wajib mengambil duit tersebut untuk memberi nafkah kepada isteri anaknya. 

"Wali berperanan sebagai penjamin dan pengurus harta supaya hak isteri tidak dizalimi,” katanya.

Bagi menghadapi risiko jangka panjang, terutama jika wali meninggal dunia, Nur Arif mencadangkan hibah bersyarat sebagai langkah perlindungan. 

Aset seperti rumah sewa atau kebun boleh dihibahkan atas nama anak autisme, namun diurus oleh pemegang amanah bagi memastikan hasilnya terus digunakan untuk nafkah keluarga.

Menurutnya, mahkamah syariah juga mempunyai kuasa untuk mensyaratkan pengurusan harta sedemikian sebelum memberi kebenaran pernikahan, bagi menutup ruang pengabaian pada masa hadapan.

Walaupun mengakui perkahwinan melibatkan individu autisme memerlukan komitmen dan sokongan besar, Nur Arif menegaskan Islam sentiasa menyediakan penyelesaian yang berteraskan keadilan dan kemanusiaan.

“Dengan persetujuan dan keredaan sebelum nikah, isteri serta keluarga boleh membantu membimbing suami mengikut kemampuan.

"Saya sendiri pernah menyaksikan perkahwinan seperti ini. Mereka terpelihara daripada maksiat dan kehidupan mereka lebih terurus,” katanya.

Untuk rekod, Nur Arif Jasmin merupakan seorang pelajar autisme yang pernah mencuri perhatian ramai kerana pencapaian akademiknya yang cemerlang. 

Kini, beliau melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian al-Quran dan Sunnah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sekali gus menjadi inspirasi kepada masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram