'Tak pernah terlepas sepanjang 2 tahun potty train', ibu kesal anak darjah 1 terberak dalam seluar gara-gara gangguan air di sekolah


  • Bonda
  • Selasa, 13 Jan 2026

Hari pertama sekolah tidak berjalan lancar apabila anak darjah 1 terbuang air besar dalam seluar akibat gangguan air. — Gambar hiasan/Janaan AI

SEORANG ibu meluahkan rasa kesal dan sedih selepas anaknya yang baru memasuki tahun 1 mengalami insiden terbuang air besar dalam seluar pada hari pertama persekolahan, dipercayai berpunca daripada gangguan bekalan air di sekolah.

Menurut perkongsian ibu berkenaan di Threadsnya, anaknya yang sebelum ini tidak pernah mengalami kejadian seumpama itu sudah menjalani latihan ke tandas (potty training) sejak awal dan tidak pernah terlepas sepanjang dua tahun berada di tadika.

"Anak saya sudah masuk tandas dan bersedia untuk membuang, tetapi air tiada. Dia cuba tahan, namun tidak mampu,” katanya.

BACA LAGI: Lelaki guna AI menyamar jadi wanita di 'apps' cari jodoh, raih pendapatan hampir RM10 ribu

BACA LAGI: Niat nak kurus amal diet karnivor, pempengaruh usia 23 tahun alami masalah buah pinggang serius

Insiden itu menyebabkan najis terkeluar dari seluarnya sehingga mengotori kasut kanak-kanak berkenaan sebelum pihak sekolah menghubungi ibu tersebut untuk membantu membersihkan anaknya.

Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa pulang ke rumah untuk dibersihkan.

Ibu berkenaan mengakui pada awalnya dia memarahi anaknya kerana terkejut dengan kejadian tersebut, namun mula tersedar selepas anaknya menjelaskan bahawa dia telah melakukan semua yang diajar sebelum ini.

"Dia cakap, 'Ali dah buat semua yang umi ajar, tapi memang tak boleh tahan. Kenapa sekolah tak ada air?’” ceritanya dalam hantaran yang dibuat pada pagi Selasa.

Lebih menyentuh perasaan, kanak-kanak itu turut meluahkan rasa malu terhadap rakan-rakan, guru kelas dan guru besar, malah enggan ke sekolah keesokan harinya kerana bimbang diejek.

Ibu tersebut berkata, perasaan bersalah mula menyelubungi dirinya apabila menyedari kejadian itu berlaku di luar kawalan anaknya.

"Saya tertanya-tanya sama ada patut menyalahkan pihak sekolah, tetapi akhirnya saya salahkan diri sendiri.

"Hari pertama sekolah sepatutnya menjadi pengalaman manis," katanya.

Tambahnya, pihak sekolah tidak memaklumkan lebih awal mengenai gangguan bekalan air yang berlaku pada hari kejadian.

Bagaimanapun, guru kelas memaklumkan melalui aplikasi WhatsApp pada keesokan pagi (Selasa) bahawa bekalan air telah pulih.

Tambahnya, dia akan hadir ke sekolah untuk mengambil tindakan sewajarnya sambil berharap insiden itu tidak memberi kesan emosi berpanjangan kepada anaknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram