Pelancong wanita Malaysia dakwa kononnya ditipu, tapi ramai nasihat hormati undang-undang negara lain


  • Massa
  • Ahad, 28 Dis 2025

Pelancong tempatan yang mahu ke luar negara dinasihati lebih peka akan undang-undang di tempat baharu. — Gambar hiasan

HEBOH diperkatakan di media sosial baru-baru ini apabila seorang wanita Malaysia mendakwa dirinya ditipu pihak pengurusan rumah penginapan ketika bercuti di Istanbul, Turkiye.

Dalam perkongsian dibuat menerusi akaun TikTok, pengusaha hotel terbabit dilaporkan meminta bayaran lebih meskipun sudah membayar caj seperti mana ditetapkan, iaitu sekitar RM3,000 atau €700 untuk empat malam penginapan.

Bagaimanapun, selepas menyedari imej rumah penginapan sudah tercalar, pengurus hotel berkenaan tampil di media sosial dengan menjelaskan bahawa bayaran lebih itu dikenakan selepas pelancong terbabit melanggar peraturan ditetapkan.

BACA LAGI: Pulau Pinang-Sabah-Johor antara 5 lokasi pilihan, tinjauan mendapati rakyat Malaysia pilih bercuti di negara sendiri

BACA LAGI: Berbelanja 'travel' lebih berbaloi berbanding beli mainan, 5 manfaat ibu bapa bawa anak bercuti

Penjelasan pemilik hotel yang dikatakan menipu pelancong berhubung caj penginapan.

Menurutnya, tempahan dibuat untuk dua orang, namun pelancong tersebut tiba bersama lima individu lain yang jelas melanggar peraturan di hotel berkenaan.

Penjelasan kakitangan turut ditolak mentah-mentah oleh individu berkenaan yang sebaliknya mengugut untuk memburukkan imej kawasan penginapan itu di media sosial.

Perkongsian pemilik hotel terbabit sekali gus menceritakan kisah sebenar di sebalik perkara terbabit yang menunjukkan pihak bersalah dalam isu berkenaan.

Selain mengecam tindakan menularkan perkara itu, pengguna media sosial lain turut mengingatkan mana-mana pelancong agar tidak bertindak sewenang-wenangnya di negara luar.

Pelancong perlu memahami peraturan hotel atau rumah penginapan sebelum membuat tempahan.

Ini termasuk pengguna Threads, Fly Eat Sleep Repeat yang mengingatkan mana-mana individu untuk mengikut peraturan sesebuah negara jika mahu melancong.

"Setiap kali kita berkunjung ke tempat asing, tolonglah ikuti peraturan dan undang-undang setempat sebelum memikirkan satu-satu cara untuk mengelak dari masalah adalah dengan menularkannya di media sosial.

"Jika tidak, apa bezanya kita dengan pelancong luar yang datang ke sini dan membuat kecoh ketika menerima servis di hotel, restoran atau mana-mana lokasi lain," tulisnya.

Peringatan dikongsikan itu turut disertakan penjelasan pemilik hotel di Istanbul tersebut yang sepatutnya menjadi pengajaran buat orang ramai agar tidak bertindak sesuka hati di negara luar.

Ia turut disokong ribuan pengguna Threads lain yang yakin bahawa nasihat diberikan itu wajar diikuti bagi mengelak sebarang masalah timbul ketika sedang dalam percutian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram