KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM) bermula tahun hadapan sebagai sebahagian usaha berterusan kementerian itu dalam mengurangkan beban tugas guru.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut turut mencerminkan kepercayaan penuh KPM terhadap profesionalisme warga pendidik dalam mematuhi keperluan latihan yang telah ditetapkan.
"KPM mansuhkan Sistem SPLKPM tahun hadapan. Sepenuh kepercayaan diberi kepada guru," katanya menerusi satu hantaran ringkas di Facebook.
BACA LAGI: Warga emas maut nahas 3 kenderaan di Johor
BACA LAGI: Janin bayi lelaki ditemukan dalam lori sampah di Bukit Jalil, polis masih buru suspek
Pengumuman berkenaan menerima reaksi positif daripada warga pendidik di media sosial apabila ramai menyambut baik keputusan itu yang disifatkan mampu mengurangkan tekanan serta beban pentadbiran.
Bagaimanapun, sebahagian guru berharap kerajaan tidak melakukan ‘pusingan U’ dengan memperkenalkan sistem baharu yang sama fungsinya, tetapi menggunakan penjenamaan berbeza.
"Ini yang kita idamkan dan mahukan. Jangan ada penjenamaan baharu atau wujud sistem hampir sama dengan gelaran lain,"kata pengguna Facebook, Safikkin Sabran.
"Jangan pula masuk sistem baharu bersama pakej daripada kroni," komen seorang lagi pengguna, Cengkih Ungu.
"Harap betul-betul mansuh. Jangan pula ditukar dengan sistem baharu yang lebih membebankan," ujar pengguna Facebook, Hilster Ramba.
Untuk rekod, SPLKPM merupakan platform dalam talian yang dibangunkan KPM bagi mengurus, memantau dan merekodkan semua aktiviti Latihan Dalam Perkhidmatan melibatkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di bawah kementerian itu.
Sistem berkenaan berfungsi sebagai portal sehenti kepada guru dan pentadbir sekolah untuk merekod serta menyemak status kursus atau latihan yang dihadiri bagi memenuhi keperluan pembangunan profesionalisme berterusan (CPD).
Melalui SPLKPM, setiap guru sebelum ini disasarkan mengikuti sekurang-kurangnya lima hari latihan setahun dengan keperluan mengumpul 42 mata kredit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
