Empat sahabat bangunkan Sagemaker, 'startup' sosial perkasa ibu B40 dan pendidikan kanak-kanak


  • Sukses
  • Ahad, 14 Dis 2025

Sagemaker muncul sebagai sebuah startup sosial diterajui sepenuhnya wanita, dengan misi memperkasa ibu-ibu B40.

BERMULA dengan idea yang sering dipandang remeh, empat sahabat kesemuanya wanita ini membuktikan bahawa perniagaan bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya mampu menjadi alat perubahan sosial yang berimpak besar. 

Diasaskan pada 2024, Sagemaker muncul sebagai sebuah startup sosial diterajui sepenuhnya wanita, dengan misi memperkasa ibu-ibu B40 dan menjadikan pendidikan kanak-kanak lebih mudah diakses.

Kisah Sagemaker mendapat perhatian selepas seorang usahawan, Richard Ker yang berkongsi perjalanan inspirasi mereka di laman X, menyifatkan permulaan itu sebagai antara inisiatif wanita yang wajar diberi lebih sokongan dan pendedahan.

“Ini adalah sebuah startup wanita yang jarang diperkatakan. Mereka mahu memperkasa wanita dan memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua. Inilah kisah inspirasi mereka,” tulisnya.

BACA LAGI: Suami ugut bayar RM50,000 kalau nak cerai? Peguam jelas hak isteri, bongkar helah pasangan ambil kesempatan

BACA LAGI: 'Childhood' trauma boleh merosakkan hubungan, Ustazah Nazirah kongsi cara rawat jiwa

Sagemaker diasaskan oleh empat orang rakan iaitu Maizatul Kamal, Shafiqah Zainol, Azeera Hakim dan Ummu Sulaimah yang masing-masing membawa kepakaran berbeza yang saling melengkapi.

Maizatul Kamal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berpengalaman dalam pemasaran, penjenamaan dan strategi perniagaan, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Multimedia (Pengiklanan & Rekaan) dari Multimedia University (MMU), Cyberjaya, Selangor.

Sementara itu, Ummu Sulaimah, selaku Ketua Pegawai Sumber Manusia (CPO) merupakan graduan Komunikasi Strategik (Kepujian) MMU dan bertanggungjawab dalam aspek libat urus komuniti serta kebajikan penerima manfaat.

Shafiqah Zainol, Ketua Pegawai Operasi (COO) pula berkelulusan Kejuruteraan Kimia dari Universiti Kuala Lumpur dan memainkan peranan penting dalam pengurusan projek mampan.

Manakala Azeera Hakim, Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran (CSMO), berlatarbelakangkan rekaan multimedia serta merupakan advokat pendidikan awal kanak-kanak.

"Gabungan kepakaran dalam penjenamaan, reka bentuk produk, kelestarian dan pembinaan komuniti menjadi tunjang kekuatan Sagemaker," kata Richard. 

Menurut Richard, idea menubuhkan Sagemaker tercetus selepas menyedari realiti pahit bahawa Malaysia mempunyai kira-kira 1.5 juta keluarga diketuai wanita B40, yang kebanyakannya berdepan pendapatan rendah atau langsung tiada sumber kewangan tetap.

Golongan ini bukan kekurangan kemahuan, sebaliknya peluang. Daripada situ, Sagemaker tampil dengan model perniagaan yang unik untuk mewujudkan peluang pekerjaan melalui kemahiran menjahit, khususnya kepada ibu-ibu yang memerlukan. 

Wanita-wanita ini dikumpulkan dalam kumpulan kecil, dilatih menghasilkan produk kanak-kanak berasaskan fabrik, sementara pasukan teras Sagemaker mengendalikan reka bentuk, pemasaran dan penjenamaan.

Namun, perjalanan mereka tidak semudah yang difikirkan. Model perniagaan yang berteraskan impak sosial sering dipersoalkan. 

Ada yang meragui keberkesanannya, malah menasihatkan mereka supaya melupakan idea dan mencari pekerjaan tetap. 

Tidak kurang juga tukang jahit yang menolak untuk bekerjasama pada peringkat awal.

Segalanya berubah apabila Sagemaker berjaya melancarkan produk sulung mereka iaitu buku cerita pendidikan interaktif berasaskan fabrik untuk kanak-kanak. 

Setiap halaman direka dengan objektif pembelajaran yang jelas, jalan cerita yang menarik serta dihasilkan dengan penuh teliti dan kasih sayang oleh komuniti ibu-ibu yang terlibat.

Walaupun masih baharu, impak Sagemaker sudah mula dirasai. Setakat ini, 10 orang ibu telah menerima manfaat secara langsung dan pasukan itu kini giat mencari rakan strategik termasuk syarikat korporat yang berminat dengan hadiah berkonsepkan makna, pendidikan dan kelestarian.

Dalam perkembangan berkaitan, salah seorang pengasas, Ummu Sulaimah turut berkongsi inisiatif komuniti Sagemaker menerusi hantaran di Threads apabila berjaya menyiapkan 30 beg sekolah hasil jahitan daripada seluar jeans dan pakaian terpakai sumbangan orang ramai.

“Alhamdulillah, siap sudah 30 beg sekolah yang dijahit oleh komuniti Sagemaker, hasil daripada jeans dan baju terpakai pemberian orang ramai termasuk warga Threads,” tulisnya.

Menurut Ummu Sulaimah, beg-beg tersebut akan diserahkan kepada pelajar sekolah Tahun 4, 5 dan 6. Selain beg sekolah, penerima turut akan menerima mini pouch, key wristlet, alat tulis serta pensel warna.

“Setiap satu beg ini kami sertakan tag nama akak-akak Sagemaker yang menjahitnya, bersama ucapan khas untuk adik-adik penerima,” katanya.

Beliau turut berkongsi penghargaan terhadap salah seorang ahli komuniti dikenali sebagai Kak Za, yang berjaya menyiapkan 12 beg sekolah dengan rekaan berbeza dalam tempoh kira-kira tiga minggu, sekali gus mempamerkan kreativiti dan komitmen tinggi komuniti Sagemaker. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram