Janin bayi lelaki ditemukan dalam lori sampah di Bukit Jalil, polis masih buru suspek


  • Kes
  • Sabtu, 13 Dis 2025

Janin bayi dijumpai di dalam lori sampah di Bukit Jalil pada Khamis. — Polis

SATU janin bayi lelaki berusia kira-kira 25 minggu ditemukan dalam sebuah lori sampah di kawasan Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada empat individu setakat ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya, keadaan fizikal janin ketika ditemui menimbulkan syak wasangka berikutan terdapat kecederaan ketara pada beberapa bahagian tubuh.

BACA LAGI: Penganggur ditahan disyaki bunuh isteri, simpan mayat 4 hari dalam pangsapuri di Butterworth

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas kelar sampai mati, pemuda sempat mandikan mayat, jemur pakaian terakhir isteri

"Keadaan tubuh badan janin semasa ditemui mempunyai kecederaan di bahagian perut, tengkorak kepala pecah dan tali pusat putus. Penemuan itu disedari pekerja syarikat pengurusan alam sekitar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima maklumat mengenai penemuan tersebut pada pukul 12.51 tengah hari Khamis.

Janin itu dianggarkan berukuran panjang 35 sentimeter.

Berhubung kejadian itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Elfi di talian 011-1004 8773, Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras 03-9284 5050, Polis Kontinjen Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian bayi sebelum atau semasa dilahirkan.

Dalam pada itu, tiada suspek dikenal pasti setakat ini dalam siasatan berterusan berhubung penemuan mayat seorang bayi yang baru dilahirkan di Bukit Jalil.

“Setakat ini, kami masih mengumpulkan semua maklumat daripada orang awam. Individu yang terlibat masih belum dikenal pasti dan kami memerlukan bantuan orang ramai.

“Kes ini masih dalam siasatan,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus selepas menghadiri program ‘PPR adoption’ di PPR Seri Alam Fasa Dua, Kuala Lumpur pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram