Ramai pertikai, kenapa kena caj RM2 keluar masuk residensi


Caj berkenaan didakwa dikenakan tanpa sebarang penjelasan kukuh daripada pihak pengurusan.

 

 

LAIN kediaman, lain peraturannya. Begitulah situasi yang sering diperkatakan penghuni bandar apabila setiap residensi mempunyai set pengurusan, garis panduan keselamatan dan yuran tersendiri.

Namun, peraturan sebuah kediaman yang tular baru-baru ini nyata mengundang persoalan luar biasa apabila seorang penggguna Threads mendakwa dikenakan caj RM2 untuk masuk dan jumlah sama untuk keluar dari perumahan berkenaan.

"Normal ke visitor masuk residensi bayar RM2? Keluar RM2? Motif?" tanya pengguna Threads, Mad_anass.

BACA LAGI: Rembayung bukan kejar 'hype' dan viral tapi projek bisnes F&B dari hati Khairul Aming

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ya ALLAH, peliharalah kami', ramai kongsi detik cemas harung banjir di KL

Situasi itu mengejutkan ramai pengguna media sosial memandangkan caj sedemikian jarang atau langsung tidak pernah dikenakan kepada pelawat di kediaman biasa mahupun kondominium.

Lebih menghairankan apabila caj berkenaan didakwa dikenakan tanpa sebarang penjelasan kukuh daripada pihak pengurusan.

Perkongsian tersebut segera menarik perhatian warga Threads, dengan ramai yang terkejut serta mempertikaikan tindakan pengurusan kediaman itu yang disifatkan seolah-olah mengambil kesempatan.

"Aikk condo high end, orang luar nak masuk pun tak ada kena caj bagai. Ini residensi biasa, siap belakang tu orang duduk atas kerusi… apo mat nak caj??!! Report sajalah. Benda tak ada dalam kamus undang-undang," kata seorang pengguna, Iamfathi1.

"Woah, easy money for management," tulis seorang lagi pengguna, istihaqmubarak yang melihat caj tersebut sebagai peluang mudah bagi pihak pengurusan mengaut keuntungan.

"Mesti ramai yang tak bayar maintenance fee. So management kena bertindak ‘luar kotak’ la cari duit. Dana dah kering," komen pahlawan ringgit yang mendakwa tindakan itu mungkin berpunca daripada masalah kewangan pengurusan kediaman.

Walaupun lokasi sebenar tidak dinyatakan oleh pengadu, ramai dalam kalangan pengguna mendakwa kediaman tersebut dipercayai merupakan sebuah apartmen terletak di Subang Jaya, Selangor.

Setakat ini, pihak pengurusan residensi terbabit belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tular tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram