[VIDEO] Tertekan pedal minyak punca van langgar puluhan murid sekolah Indonesia ketika sesi perhimpunan


  • Benua
  • Khamis, 11 Dis 2025

Tangkap layar puluhan murid di Indonesia cedera parah selepas sebuah kenderaan pengangkut MBG merempuh mereka pada pagi Khamis. — Agensi

PULUHAN murid Sekolah Kebangsaan (SK) 01 Pagi, Kalibaru dekat Cilincing, Indonesia cedera parah selepas sebuah kenderaan pengangkut Makan Bergizi Gratis (MBG) merempuh mereka pada pagi Khamis.

Menurut maklumat awal, kemalangan berlaku ketika para murid berkenaan sedang beratur waktu perhimpunan di padang sekolah untuk memulakan aktiviti pagi.

Kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan selepas pemanduvan itu dikatakan tersalah tekan pedal minyak lalu menyebabkan ia bergerak dan melanggar murid serta beberapa guru yang berada di kawasan berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu ‘bas pink’ positif syabu — Polis Melaka

BACA LAGI: [VIDEO] 'Apa salahnya pelawa adik saya duduk', gadis bertongkat patah paha, genap sebulan kehilangan ibu akibat nahas

Beberapa murid dilaporkan menjadi mangsa, dengan keadaan sebahagian daripada mereka terbaring di sekitar lokasi kemalangan.

Ada juga kanak-kanak yang tersepit di bawah kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh penduduk dan kakitangan sekolah.

 

 

 

 

Menurut salah seorang ayah kepada murid tersebut yang hanya dikenali sebagai Syam, berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 6.30 pagi.

"Saya hanya mengetahui perkara tersebut selepas dihubungi pihak sekolah dan terus bergegas bersama ibu bapa yang lain ke lokasi kejadian," katanya.

Syam turut menganggarkan puluhan kanak-kanak terlibat dalam kemalangan itu.

Dalam perkembangan lain, turut tular beberapa video memaparkan orang awam dan kakitangan sekolah cuba mengangkat kenderaan yang masih berada di tengah-tengah padang untuk menyelamatkan murid yang tersepit.

Lebih menyedihkan lagi, turut kedengaran suara seorang lelaki memaklumkan ramai kanak-kanak yang tersepit di bawah kenderaan itu.

Difahamkan, mangsa yang cedera dibawa ke hospital terdekat untuk menerima rawatan, termasuk beberapa murid yang mengalami kecederaan serius.

Sehingga kini, tiada jumlah rasmi mangsa diumumkan, manakala pihak polis sedang menyiasat punca kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram