Walaupun lambat panas 'enjin', Jairo kini dapat bayar semula kesabaran penyokong JDT


  • Podium
  • Khamis, 13 Nov 2025

Prestasi Jairo mula mendapat 'restu' penyokong JDT. — Johor Southern Tigers

PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Jairo da Silva mula mendapat tempat dalam hati penyokong Harimau Selatan.

Namun begitu, sebelum dipuja, Jairo berdepan pelbagai kritikan pedas oleh penyokongnya sendiri yang berasakan dia tidaklah sebagus penyerang lain seperti Bergson da Silva.

Akan tetapi, Jairo mula bangkit dan menunjukkan kualitinya hingga berjaya menambat hati penyokong JDT.

BACA LAGI: Kerap tukar jurulatih ganggu rentak pasukan, Selangor wajar laksana reformasi teknikal

BACA LAGI: NSFC dengar luahan fans, ‘upgrade’ fasiliti stadium lepas kantung kelab penuh

Dibandingkan dengan Obregon

Perjalanan Jairo bersama-sama JDT pada awalnya tidaklah semudah disangka kerana dia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan Harimau Selatan.

Diberikan tugas untuk mengemudi serangan JDT dalam beberapa aksi utama lebih-lebih tugasan Asia, impak Jairo dilihat tidak besar berbanding Bergson yang lebih tajam.

Jairo pernah disamakan dengan Obregon kerana ketumpulannya.

Malah ada masanya, Jairo pernah disamakan dengan bekas pemai JDT musim lalu iaitu Jorge Obregon mengenai kualiti penyudahnya yang tumpul.

Namun kini, segalanya mula reda dengan Jairo sudah semakin meningkat kualiti persembahannya dan gol-gol pun mula datang untuk JDT.

Semakin garang

Walaupun mengambil sedikit masa untuk mendapatkan rentak bersama JDT, Jairo kini sudah pun mula garang dengan permainannya semakin baik.

Ia dapat dilihat menerusi statistik apabila dia sudah pun menghasilkan 10 gol dalam Liga Super sambil mencipta tujuh bantuan jaringan dalam semua pertandingan.

Jairo sudah ada 10 gol di Liga Super.

Malah, Jairo turut menghasilkan hatrik apabila dia membantu JDT menewaskan Terengganu FC pada 31 Oktober sambil mencatatkan rekod hanya dua kali saja tidak menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan liga.

Dua perlawanan tersebut adalah semasa menentang Negeri Sembilan FC di mana Jairo melakukan satu bantuan gol dan sewaktu menumpaskan Sabah FC dengan dia tidak diturunkan.

Sabar itu indah

Pada awalnya, mungkin penyokong JDT mengalami kesukaran dalam menerima aksi Jairo kerana kesukarannya menyesuaikan diri dengan sistem Harimau Selatan.

Mana tidaknya, sudah bermusim-musim mereka disajikan dengan persembahan hebat Bergson, sudah pasti jangkaan terhadap Jairo juga tinggi.

Penyokong JDT sudah lama terbiasa dengan jaringan oleh Bergson.

Kini, mula membayar sedikit demi sedikit kepercayaan penyokong, Jairo membuktikan yang kesabaran penyokong JDT terhadapnya adalah satu perkara yang indah.

Enjin sudah pun panas, tunggu masa untuk ditekan ke gear tinggi agar ia meluncur laju. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram