
SEORANG lelaki dilaporkan maut selepas lori dipandunya terbabas sebelum terbakar dalam sebuah kejadian sekitar Kilometer (km) 28 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Gombak, Selangor pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mangsa berusia 28 tahun disahkan maut oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
"Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikerah ke lokasi sejauh 22 km sejurus terima panggilan kecemasan pada pukul 4.21 pagi dan tiba pada pukul 5.07 pagi.
BACA LAGI: [VIDEO] Trak terjunam gaung di Terowong Menora, seorang tentera terkorban
BACA LAGI: Kanak-kanak 6 tahun antara mangsa maut kemalangan lori berhenti di Lipis
"Komander operasi melaporkan, kebakaran membabitkan sebuah lori membawa muatan debu simen dan terdapat seorang mangsa," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, lori terbabit dianggarkan musnah 60 peratus akibat terbakar, terutamanya di kabin belah pemandu susulan kemalangan berkenaan.
Insiden menyebabkan kesesakan lalu lintas dengan perkongsian di media sosial berkongsi bahawa trafik sesak sehingga enam km setakat pukul 10 pagi.
Selain menyatakan kesan dari kemalangan terbabit, pengguna jalan raya turut mengharapkan kerajaan dan pihak berwajib mengambil langkah proaktif dalam menghalang kes melibatkan kenderaan berat berulang.
Pengguna jalan raya berkongsi kesesakan lalu lintas di lebuhraya tersebut.
"Apa yang sudah jadi? Kenapa insiden sebegini terlalu kerap berulang dan tiada langkah diambil untuk menyelesaikan isu tersebut. Mohon ahli politik berkaitan berbuat sesuatu," kata Jenn Love.
"Terlalu banyak kemalangan melibatkan kenderaan berat, sesuatu perlu dilakukan Kementerian Pengangkutan," kata Mykel Lee.
"Dah kerap sangat kes begini, harapnya kerajaan, lebih-lebih lagi Kementerian Pengangkutan dapat segera cari jalan penyelesaian. Risau untuk kami gunakan jalan raya," kata Naz Nazrin.
Pada 27 September lalu, sebuah kes kemalangan berlaku di Plaza Tol Bukit Kajang, Selangor selepas sebuah lori hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan lain.
Insiden itu mengorbankan dua nyawa, termasuk seorang kanak-kanak dengan orang ramai segera mendesak kerajaan supaya memastikan kes sebegitu sekali lagi berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram