SUDAH memasuki 12 hari sejak kawasan Aceh Utara, Indonesia ditelenggami banjir sehingga mengorbankan 121 nyawa manakala 109 lagi dilaporkan hilang, setakat Rabu.
Menghampiri tempoh dua minggu, masih belum ada bantuan yang diberikan oleh kerajaan Indonesia untuk meringankan beban mereka yang terkesan di Aceh.
Datuk Bandar Aceh Utara, Ismail A. Jalil meminta Presiden Indonesia, Prabowo Subianto untuk memberi bantuan sewajarnya kerana situasi di lokasi itu sudah cukup kritikal.
BACA LAGI: [VIDEO] Bahasa Melayu bantu doktor Malaysia rawat pesakit Indonesia di Taiwan
BACA LAGI: 'Baru betul letak bendera', jersi ke-3 Harimau Malaya kembalikan nostalgia era K. Rajagopal
Kata Ismail, penduduknya kini berdepan krisis kelaparan yang kritikal dan masih banyak jenazah yang belum dituntut.
"Kami mohon kerajaan pusat dan seluruh rakyat Indonesia membantu Aceh Utara. Wakil kerajaan selain Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) masih belum tiba di Aceh Utara.
"Rakyat saya kelaparan, jenazah rakyat saya masih belum diambil, mohon bantuan.
"Apakah kerajaan pusat tidak tahu? Hinggakan mereka katakan yang banjir ini tidak kritikal. Saya sangat beremosi, tolong bantu kami. Jangan biarkan rakyat kami mati kelaparan," ujarnya.
Dalam masa yang sama, Ismail menegaskan yang dana semakin terhad untuk membantu para mangsa kerana ia sudah banyak dibelanjakan untuk membeli barang bantuan.
Dengan situasi masih ada beberapa tempat sukar untuk diakses, ia semakin menyukarkan bantuan untuk diagihkan.
"Rakyat saya tinggal sehelai sepinggang. Mereka kehilangan rumah, harta dan barang. Kini semakin ramai jatuh sakit. Saya sudah kerahkan semua sumber daerah, tetapi kami tidak mampu menjangkau keseluruhan kawasan yang terjejas," katanya.
Banjir di Aceh Utara bermula sejak 22 November dengan beberapa kawasan lain mula terkesan empat hari kemudian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
