SEMANGAT dan dedikasi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Hulu Langat, Selangor diuji apabila banjir melanda beberapa kawasan di daerah itu, namun mereka tetap berusaha menempuh peperiksaan penting itu walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
Kejadian banjir pada Khamis menjejaskan kehidupan seharian penduduk termasuk pelajar yang terpaksa mencari ikhtiar untuk sampai ke sekolah.
Menerusi hantaran di media sosial, seorang ibu pelajar, Ellya Danish berkongsi rasa syukurnya apabila anaknya masih diberi peluang memasuki dewan peperiksaan walaupun tidak memakai uniform sekolah.
BACA LAGI: Jangan hanya teruja lihat harga murah, 5 tip elak terbeli kereta terpakai rosak banjir
BACA LAGI: Banjir di Aceh: Bapa jalan kaki 4 hari 4 malam, akhirnya berjaya temui keluarga
“Terima kasih cikgu-cikgu, ketua pengawas kedua-dua sekolah. Tiada baju sekolah, tiada slip, tiada kasut, tetap ambil exam,” kongsinya yang terharu dengan usaha anaknya menempuh peperiksaan dalam situasi sukar.
Dalam satu video lain yang tular, beberapa calon SPM dilihat menaiki kenderaan seperti lori sampah yang disediakan oleh penduduk kampung untuk ke sekolah, menunjukkan semangat komuniti membantu pelajar menunaikan tanggungjawab mereka.
"Di sekolah menengah kawasan hulu Langat , anak-anak murid adik aku yang mengajar di sana pagi ini. Pelajar-pelajar yang mengambil peperiksaan SPM sangkut banjir naik lori sampah untuk mengambil peperiksaan. Ada cikgu yang sampai tak tidur malam untuk uruskan pelajar-pelajar," kongsi pengguna Facebook, Muka Kelat.
Banjir berlaku selepas hujan lebat selama enam jam yang menyebabkan beberapa kawasan termasuk Batu 20, Nanding, Dusun Tua, Sungai Lui dan Batu 18, dinaiki air.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai 20 penduduk Kampung Dusun Nanding dipindahkan ke tempat selamat selepas rumah mereka dinaiki air.
"Kita menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.14 pagi. Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn bergegas ke lokasi yang jaraknya 20 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Ahmad Mukhlis, paras air dianggarkan 0.3048 meter dan trend air kini dilaporkan semakin menurun. Semua mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan lori dan dibawa ke kawasan selamat.
Dalam pada itu, difahamkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Hulu Langat pada Khamis, masing-masing di Sekolah Rendah Agama (SRA) Dusun Nanding pada pukul 10.20 pagi dan di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai pada pukul 10.30 pagi bagi menempatkan mangsa banjir susulan keadaan air yang meningkat di beberapa kawasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
