PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (Fifpro) mengatakan yang tujuh pemain warisan Malaysia dihukum oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana skandal pemalsuan dokumen adalah "mangsa" kepada kes tersebut.
Dalam kenyataan mereka pada Isnin, Fifpro mengatakan yang hukuman FIFA terhadap tujuh pemain tersebut dengan menggantung selama 12 bulan adalah terlalu berat dan memberikan impak kepada karier mereka di peringkat kelab.
Kata Fifpro, pemain warisan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel adalah mangsa kepada apa yang berlaku.
BACA LAGI: ‘Seakan ada sentuhan’, kedudukan Mukhairi dikatakan punca kenapa gol Selangor dibatalkan
BACA LAGI: Arsenal berdepan risiko didenda lepas gagal tumpaskan Chelsea
"Hukuman yang dikenakan kepada mereka — penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak — adalah sangat tidak seimbang dengan keadaan sebenar kes tersebut.
"Jelas bahawa para pemain sebenarnya adalah mangsa dalam hal ini. Keputusan itu sendiri mengesahkan bahawa mereka tidak memalsukan sebarang dokumen untuk mendapatkan kelayakan, dan turut mengakui bahawa dokumen yang mereka serahkan adalah asli," kata Fifpro.
Melihat kepada kenyataan Fifpro yang membela tujuh pemain tersebut, timbul persoalan dalam kalangan penyokong mengenai siapakah dalang sebenar?
Menurut penyokong dikenali sebagai Amir Syafiq, persoalan terus timbul kerana jika bukan salah pemain, ejen yang terlibat iaitu Nicolas Puppo dan Frederico Moraes harus dicari untuk dapatkan kebenaran.
"Jadi siapa mastermind kalau pemain tidak bersalah? Pemain 'tak tahu menahu' dan dikatakan menjadi 'mangsa' ejen, mana dua ejen tu sekarang?
"Jadi pemain sebenarnya tahu tak yang mereka ada darah warisan? Atau mereka sebenarnya tak tahu, bila ejen datang terus kata yang mereka ada datuk, nenek asal Pulau Pinang, Melaka," katanya.
Dalam masa yang sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini dilihat terpaksa menelan segala kesan hasil daripada apa yang berlaku.
Dengan pelbagai pendedahan dilakukan oleh FIFA, penyokong mula melihat mereka yang berkhidmat dalam skuad kebangsaan terutamanya dalam fasa 'revolusi' mula lepas tangan.
"Lepas ni jadi apa dekat FAM? Apa jadi dekat orang yang palsukan dokumen? Apa jadi dekat dalang yang rancang semua ni? FAM disalahkan bertubi-tubi dek salah orang lain, yang tinggal cuma orang yang tak tahu apa-apa dalam FAM ni.
"Orang yang tahu semua dah cabut, ada pula yang mengaku sebagai konsultan bekerja dari rumah je," soalnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
