Sambutan meriah, 200 pemain seluruh negara sertai Cabaran Golf Senior Melaka 2025


  • Podium
  • Isnin, 01 Dis 2025

Hisham Pajar (kiri) dan setiausaha kejohanan, Kol (B) Amirruddin Sadali menunjukkan piala pusingan bakal menjadi rebutan di Kejohanan Cabaran Golf Senior Melaka 2025.

 

 

SERAMAI 200 pemain mengesahkan penyertaan di Kejohanan Cabaran Golf Senior Melaka 2025 di dua lapangan iaitu Kelab Golf Orna & Country dan Kelab Golf Tiara & Country pada 8 Disember ini.

Pengerusi kejohanan, Hisham Pajar berkata, kejohanan tersebut dianjurkan Kelab Golf Raya (KGR) dengan kerjasama Persatuan Golf Negeri Melaka (PGNM).

Menurutnya, kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu mempertandingkan empat kategori iaitu Divisyen 1 (50-59 tahun), Divisyen 2 (60-64 tahun), Divisyen 3 (65-69 tahun) dan Divisyen 4 (70 tahun ke atas).

BACA LAGI: ‘Seakan ada sentuhan’, kedudukan Mukhairi dikatakan punca kenapa gol Selangor dibatalkan

BACA LAGI: Arne Slot masih belum 'selamat', Mourinho-Ranieri tetap dipecat semusim selepas menang EPL

“Kami mendapat penyertaan yang amat mengalakkan dalam kalangan pemain golf senior dan penyertaan terpaksa ditutup seminggu sebelum kejohanan,” ujar Hisham.

Hisham berkata, pihaknya mendapat penyertaan daripada bukan sahaja pemain dari Melaka tetapi juga dari Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

Menurutnya, format pertandingan yang akan digunakan ialah stabelford system 36.

Sistem tersebut merupakan corak perkiraan markah dengan mengira handicap secara one-day handicap bagi pemain yang tidak mempunyai handicap rasmi.

Di setiap lubang akan mempunyai mata dan markah peserta dikira berdasarkan berapa pukulan di atas par.

Ia adalah sistem kiraan lazim bagi kejohanan amatur melibatkan pemain yang berbeza-beza kualitinya.

Hisham berkata, kejohanan itu dianjurkan bertujuan mengumpul para pemain golf berusia warga emas yang masih aktif bagi mengeratkan silaturahim.

“Sebenarnya tidak banyak kejohanan dianjurkan khusus untuk pemain ini dan sebab itu kita mendapat penyertaan ramai pemain datang dari luar Melaka,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya ingin menjadikan kejohanan sebagai acara tahunan dan boleh dimasukkan dalam kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0) pada 2026.

“Saya amat berharap untuk penganjuran tahun depan KJR dan PGNM mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) peringkat negeri,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram