Tiada rombakan Kabinet besar-besaran, hanya isi kekosongan — PM Anwar


  • Massa
  • Isnin, 01 Dis 2025

Anwar Ibrahim menegaskan tiada rombakan besar dalam Kabinet ketika ini, sebaliknya hanya kekosongan sedia ada perlu diisi bagi memastikan kelancaran pentadbiran.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada rombakan besar-besaran dalam Kabinet ketika ini, sebaliknya hanya kekosongan sedia ada perlu diisi bagi memastikan kelancaran pentadbiran.

Menurut Anwar, kerajaan kini berada dalam tempoh sekitar setahun setengah sebelum penggal berakhir, justeru rombakan menyeluruh bukan keutamaan.

"Saya tidak fikir rombakan besar boleh dilakukan. Namun, pengisian kekosongan tetap perlu dan sedang dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran kenderaan elektrik bateri pertama Perodua, QV-E, di Menara MITI, Kuala Lumpur pada Isnin.

BACA LAGI : Jawatan baharu Tengku Zafrul diumum Rabu — PM Anwar

BACA LAGI : Kereta ditenggelami banjir? Periksa warna minyak hitam bertukar 'teh tarik' antara 7 langkah kritikal

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pengumuman rombakan Kabinet bakal dibuat dalam masa terdekat.

Spekulasi mengenai perubahan Kabinet semakin hangat apabila beberapa portfolio dijangka kosong dalam tempoh terdekat.

Anwar (kiri)  akan mengumumkan tugas baharu buat Tengku Zafrul (kanan)  pada Rabu.

Terdahulu dilaporkan, tempoh perkhidmatan sebagai Senator bagi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan tamat pada Selasa, sekali gus menamatkan peranan beliau sebagai menteri.

Selain itu, tiga lagi portfolio masih belum diisi iaitu Menteri Ekonomi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Kekosongan tersebut berlaku selepas Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad melepaskan jawatan masing-masing pada Mei lalu susulan kekalahan dalam pemilihan PKR.

Pada awal bulan ini, Datuk Ewon Benedick turut mengundurkan diri sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas berpendirian untuk meletakkan jawatan sekiranya Putrajaya memutuskan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip di negeri itu.— The Star/ RAHIMY RAHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram