'Masih trauma banjir yang dulu', penduduk Sri Muda kesal gambar banjir dihasilkan AI jadi bahan gurauan, cetus panik


  • Massa
  • Isnin, 24 Nov 2025

Gambar Ai yang memaparkan banjir yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam akibat hujan lebat, menenggelami beberapa buah kereta di kawasan perumahan.

HUJAN lebat tanpa henti sejak Ahad lalu menyebabkan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dilanda banjir.

Jalan raya ditenggelami air, kenderaan tersangkut dan sebahagian rumah penduduk dipenuhi air, sekali gus menimbulkan ketakutan sekali gus menjejaskan kehidupan harian penduduk.

Seiring dengan itu juga, pelbagai video dan gambar menunjukkan kawasan yang ditenggelami air turut tular di media sosial sehingga menarik perhatian ramai warganet.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Nasib baik Jumaat cuti di Kedah', SK Baling terbakar, tiba masanya pengurusan sekolah lebih kerap periksa sistem pendawaian

BACA LAGI: [VIDEO] Rimas budak kena asap rokok, pengunjung Bazaria Wangsa Maju kesal peniaga bawa perangai dari tempat lama

Malangnya, ada pihak tidak bertanggungjawab yang dilaporkan menjadikan tragedi tersebut sebagai bahan gurauan, sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan mangsa dan masyarakat umum.

Seorang pengguna Threads, akaun ekaa.ahmad pada Isnin, meluahkan rasa kecewa apabila gambar dan situasi mangsa banjir dijadikan sasaran berita palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

 

 

Wanita itu berkongsi pengalaman pahitnya ketika banjir besar melanda Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada 2021, yang menyebabkan keseluruhan tingkat bawah rumahnya musnah.

Menurutnya, hujan lebat sejak tengah malam hingga pagi Isnin menimbulkan semula trauma, terutamanya memandangkan rumahnya pernah mengalami kerosakan teruk, termasuk kabinet dapur yang paling disayanginya musnah dihanyutkan air.

"Saya dan suami masih trauma dengan apa yang berlaku dahulu. Hari ini, hujan lebat membuatkan saya sangat kecewa apabila ada pihak menganggap perkara ini sebagai hiburan, sampai sanggup menghasilkan gambar banjir menggunakan AI seolah-olah kami kembali menjadi mangsa.

"Tolonglah… bagi kami yang pernah melalui dugaan banjir, perkara ini sangat memberi kesan mendalam.

"Kalau tidak mampu membantu, doakan yang baik-baik. Jika tidak, lebih baik diam," tulisnya.

Perkongsian itu turut mendapat perhatian ramai yang bersetuju bahawa banjir bukan bahan lawak, sebaliknya tragedi yang meninggalkan kesan emosi dan psikologi yang besar kepada mangsa.

Malah, pengalaman sedemikian turut menekankan kepentingan empati dan kesedaran sosial dalam menghadapi bencana alam.

Penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam pernah berdepan dengan situasi banjir yang teruk pada 2021. 

Selain itu, beberapa pengguna laman Threads yang lain turut menyeru agar masyarakat lebih sensitif apabila berkongsi kandungan berkaitan bencana di media sosial, memandangkan setiap imej atau video boleh memberi impak emosi kepada individu yang pernah mengalami trauma serupa.

Terdahulu, laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 10,750 orang setakat pukul 6 pagi Isnin, melibatkan lapan negeri yang terjejas.

Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,231 orang yang kini ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS).

Perak menjadi negeri kedua paling terjejas dengan 907 mangsa berlindung di 16 PPS yang dibuka.

Terengganu pula merekodkan 360 mangsa yang dipindahkan ke dua PPS dan di Perlis, dua daerah terjejas, Padang Besar dan Kangar, menyaksikan 268 mangsa ditempatkan di enam PPS.

Sementara itu, Pulau Pinang melaporkan 237 mangsa berlindung di empat PPS dan Selangor mencatatkan 34 mangsa daripada sembilan keluarga yang kini berada di satu PPS. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram