[VIDEO] 'Nasib baik Jumaat cuti di Kedah', SK Baling terbakar, tiba masanya pengurusan sekolah lebih kerap periksa sistem pendawaian


  • Tular
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Tangkap layar sebuah blok bangunan SK Baling Kedah terbakar pada pagi Jumaat.

PENDUDUK sekitar Baling, Kedah, dikejutkan dengan kejadian kebakaran membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Baling pada pagi Jumaat, yang memusnahkan sebahagian blok dua tingkat sekolah berkenaan.

Kebakaran itu pertama kali disedari penduduk berhampiran yang melihat asap tebal membubung tinggi dari bumbung sekolah. 

Beberapa video yang tular di media sosial memaparkan api marak di bahagian bumbung blok berkenaan, menyebabkan ramai pengguna berasa cemas dengan keselamatan sekolah.

BACA LAGI : Tip keselamatan digital remaja sebagai panduan ibu bapa dilancar hasil usaha TikTok, Content Forum dan MCMC

BACA LAGI : 'Bila dah tua, belum tentu anak bagi duduk sama', bekas tentera risau temui ajal sendirian

Seorang pengguna Facebook, Muhammad Irwan yang memuat naik video kebakaran itu, berkata kejadian itu menimbulkan keperluan pihak sekolah membuat pemeriksaan lebih kerap terhadap sistem pendawaian dan tahap kesiapsiagaan. 

"Sudah tiba masanya pihak pengurusan sekolah untuk lebih kerap membuat pemeriksaan terhadap sistem pendawaian dan tahap kesiapsiagaan sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

"Entah kenapa sejak kebelakangan ini banyak kes kebakaran sekolah. Nasib baik Jumaat adalah cuti di Kedah, kalau tidak mungkin lebih parah," katanya. 

Penduduk dan pengguna media sosial lain turut meluahkan kebimbangan mereka. 

Seorang pengguna Facebook, Rohanar Saidin mendoakan agar semuanya dipermudahkan bagi semua yang terlibat.

"ALLHuakbar… di hari Jumaat, penghulu segala hari. Nasib sekolah cuti. Semoga semuanya dipermudahkan. Aamiin," tulisnya. 

Sementara itu, seorang lagi warga maya, Siti Mariamah Ishak pula menekankan kepentingan penyelenggaraan sistem pendawaian di sekolah. 

Katanya, beberapa peralatan elektrik di kelas, termasuk kipas, kadang-kadang gagal berfungsi dengan baik, sekali gus menimbulkan kerisauan terhadap keselesaan dan keselamatan pelajar.

"Sekali-sekala masuk kelas anak-anak, kipas pun kadang hidup segan, mati tak mahu. Macam mana anak-anak nak belajar dengan selesa? Sistem pendawaian sekolah perlu diperiksa dan diperbaiki dari semasa ke semasa," katanya. 

Difahamkan, operasi pemadaman sedang dijalankan dan setakat ini tiada maklumat sama ada terdapat mangsa terlibat. 

Belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa setakat ini.

Untuk makluman, kejadian tersebut berlaku pada hari cuti hujung minggu bagi negeri Kedah. 

Kejadian itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai keselamatan sekolah, terutama dari segi pemeriksaan sistem pendawaian dan tahap kesiapsiagaan pihak pengurusan sekolah jika berlaku kecemasan.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram