[VIDEO] Rimas budak kena asap rokok, pengunjung Bazaria Wangsa Maju kesal peniaga bawa perangai dari tempat lama


  • Bisnes
  • Khamis, 20 Nov 2025

Bazaria Wangsa Maju menjadi tular selepas pengunjung berkongsi pengalaman dikelilingi asap rokok.

UMUM mengetahui bahawa tempat awam merupakan kawasan larangan merokok, namun sikap segelintir perokok yang degil dan tidak bertimbang rasa masih terus menjadi isu berulang.

Lebih membimbangkan, tabiat itu kini dikesan berlaku di kawasan tumpuan keluarga seperti Bazaria Wangsa Maju yang berlokasi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur sehingga mengundang ketidakselesaan kepada pengunjung termasuk kanak-kanak.

Isu berkenaan mula tular selepas seorang pengguna Threads, putriharissa_, berkongsi pengalaman tidak menyenangkan ketika berkunjung ke bazaria tersebut pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Hari ini saya bantu abang, esok ALLAH tolong saya', mekanik jalanan sanggup 'turun' pukul 1 pagi baiki motosikal keluarga kecil

BACA LAGI: 'Bila dah tua, belum tentu anak bagi duduk sama', bekas tentera risau temui ajal sendirian

Menurutnya, suasana yang sepatutnya selesa bertukar ‘lemas’ akibat asap rokok dipercayai datang daripada beberapa peniaga di lokasi itu.

"Korang rasa dalam Bazaria Wangsa Maju sesuai ke merokok atau hisap vape? Sebab sini kan family area (kawasan keluarga), budak-budak ramai datang.

"For me, peniaga kiri kanan hisap rokok rasa lemas lahh," luahnya dalam hantaran tersebut.

 

 

Wanita itu berkata, dia datang bersama dua orang anaknya yang masih kecil.

Namun, bau asap rokok di kawasan itu menyebabkan mereka tidak dapat menikmati kunjungan dengan selesa dan terpaksa mempercepatkan urusan sebelum beredar.

“Kami datang nak jalan-jalan saja, tapi asap dari kiri kanan buat anak-anak tak selesa. Tempat macam ini patutnya friendly untuk keluarga, bukan dipenuhi asap,” jelasnya dalam perkongsian lanjut.

Tinjauan ke ruangan komen menunjukkan ramai netizen bersetuju bahawa masalah tersebut bukan perkara baharu, malah ada yang mendakwa ia sudah berlarutan sejak bazaria itu mula dibuka.

Seorang pengguna, adieroadtax, turut menyindir perangai peniaga yang dikatakan masih membawa tabiat dari tapak lama.

"Dah agak mesti ada budaya dari tempat lama… Tak masuk Uptown Danau sebab peniaga kiri kanan merokok," katanya.

Sementara itu, pengguna s.fatira_ berkongsi pengalaman ketika berkunjung pada awal pembukaan bazaria.

"Masa baru lagi, kedai pun tak banyak buka. Tapi peniaga dah merokok kiri kanan, memang rasa lemas. Tak tahulah bila kedai makin banyak buka nanti macam mana. Pengudaraan pun bukanlah bagus sangat," tulisnya.

Seorang lagi pengguna, humanceramic_, pula mempersoalkan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam.

"Ada kedai kena saman sebab tak letak tanda larangan merokok… tapi tempat macam ni, pasar tani, pasar malam penuh dengan perokok. Entahlah, sedih," luahnya.

Rata-rata netizen mendesak pihak berkuasa dan penganjur Bazaria Wangsa Maju untuk melakukan pemantauan lebih tegas agar peraturan larangan merokok dapat dikuatkuasakan, sekali gus menjaga keselesaan orang ramai, terutamanya keluarga yang membawa anak kecil.

Selain itu, mereka turut mencadangkan agar penganjur menyediakan kawasan khas merokok di luar tapak jualan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan mengenai dakwaan terbabit dari mana-mana pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram