[VIDEO] 'Hari ini saya bantu abang, esok ALLAH tolong saya', mekanik jalanan sanggup 'turun' pukul 1 pagi baiki motosikal keluarga kecil


  • Tular
  • Khamis, 20 Nov 2025

Tangkap layar Mohd Yusof sekali lagi berkongsi kisah sanggup menolong seorang lelaki yang menghadapi masalah motor di sebuah lebuh raya baru-baru ini.

RAKYAT Malaysia terkenal dengan sikap bantu-membantu yang tinggi, terutamanya dalam situasi kecemasan atau apabila orang lain memerlukan pertolongan.

Nilai murni itu bukan sahaja mengeratkan perpaduan masyarakat, malah sering menjadi inspirasi apabila dikongsi di media sosial.

Baru-baru ini, satu kisah tular membuktikan bahawa semangat itu masih segar, apabila pengasas Minyak Hitam Jalanan, Mohd Yusof sekali lagi berkongsi kisah sanggup menolong seorang lelaki yang menghadapi masalah motor bersama isteri dan dua anaknya yang masih kecil pada pukul 1 pagi di sebuh lebuh raya.

BACA LAGI: 'Bila dah tua, belum tentu anak bagi duduk sama', bekas tentera risau temui ajal sendirian

BACA LAGI: [VIDEO] Ambil iktibar staf wanita dirompak ketika bekerja seorang diri, usahawan tudung Terengganu tingkatkan keselamatan butik

Melalui perkongsian Mohd Yusof di laman TikTok minyakhitamjalanan_, kejadian bermula apabila dia menerima mesej daripada lelaki tersebut yang memaklumkan rantai motornya putus serta spoket depan hilang.

Apatah lagi, dalam keadaan cemas itu, mereka sekeluarga perlu pulang ke Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan segera.

"Saya pada mulanya menolak kerana servis saya biasanya hanya sehingga pukul 10 malam.

"Namun, apabila saya melihat dia bersama isteri dan dua anak kecil di atas motor, hati saya terus terpanggil untuk membantu," kata Mohd Yusof.

Lelaki itu kemudian bertanya mengenai kos membaiki rantai dan spoket, dan Mohd Yusof memberitahu harga anggaran sekitar RM140 termasuk upah datang ke lokasi.

Bagaimanapun, lelaki itu hanya mampu membayar RM30 kerana berada di pertengahan bulan.

"Saya kata tak mengapa. Walaupun tengah malam dan dia membawa keluarga kecil, saya tetap pergi.

"Bayar RM30 sekarang pun tak apa, hujung bulan bayar kemudian," tulisnya lagi.

Setibanya di lokasi, Mohd Yusof berdepan cabaran lain apabila lokasi yang diberikan tidak tepat. Jalan sunyi dan tiada orang di sekeliling membuatkan dia terpaksa lebih berhati-hati.

Namun akhirnya dia berjaya menyiapkan kerja membaiki rantai dan spoket di tengah jalan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Melalui video yang dimuat naik Mohd Yusof, dia turut memaklumkan kepada lelaki berkenaan agar usah membayar kos pembaikan tersebut kerana sudah dibayar menggunakan duit infaq yang disedekahkan orang awam.

"Abang tak perlu bayar, ada duit infaq. Abang boleh balik. Hari ini saya tolong abang, esok ALLAH tolong saya," katanya sambil memeluk lelaki berkenaan.

Perkongsian Mohd Yusof itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen.

Pengguna TikTok, Adem_Khodam menyifatkan tindakan Mohd Yusof sebagai contoh keprihatinan yang patut dicontohi semua.

"Bila baca kisah ni, rasa sebak tapi juga terinspirasi. Semoga sikap murni macam ini terus menular dalam masyarakat kita," tulisnya

Seorang lagi warga maya, Ruddy Marcelo memuji pekerjaan murni Mohd Yusof yang bukan sekadar berniaga, tetapi juga membantu keluarga yang dalam kesusahan.

"Pekerjaan kau ini murni bro… semoga pahala sentiasa mengalir macam air zam-zam. Rezeki kau sentiasa 'traffic light' hijau, urusan kau dipermudahkan," tulisnya.

Kisah itu bukan sahaja menonjolkan kepakaran teknikal seorang pengasas perniagaan, malah menggambarkan nilai murni yang jarang dilihat sanggup membantu orang lain tanpa mengira waktu dan keadaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram