Papan tanda bahasa Bengali di TBS tak jejas identiti, lancarkan urusan komunikasi


  • Massa
  • Rabu, 19 Nov 2025

TBS menjadi tumpuan pengguna, termasuk warga asing yang mahu menggunakan perkhidmatan kenderaan awam.

TERMINAL Bersepadu Selatan (TBS) yang terletak di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur tidak pernah putus dari kunjungan orang ramai saban hari, terutamanya pada musim perayaan.

Ini kerana stesen berkenaan menjadi titik persinggahan hampir ratusan bas ekspres yang akan dinaiki untuk ke destinasi masing-masing.

Malah, TBS juga digunakan secara kerap oleh pengguna pengangkutan awam dari luar negara seperti pelancong luar serta warga asing.

BACA LAGI: Bimbang Terminal Gombak ‘senasib’ TBS, jadi port tidur warga asing, kebersihan ‘out’

BACA LAGI: [VIDEO] Memalukan negara, 'hooligans’ bola sepak kena kecam bergaduh, rosakkan harta awam di TBS

Kebanjiran warga asing di TBS sudah menjadi satu kebiasaan.

Keberadaan mereka di stesen bas tersebut sudah sering disaksikan dengan petugas kadang-kala berdepan kesukaran dalam berkomunikasi sehingga mengambil masa panjang untuk menjelaskan sesuatu.

Bagaimanapun, baru-baru ini, timbul sebuah kegusaran berhubung kebanjiran warga asing di TBS apabila pengguna mengesan papan tanda menggunakan bahasa Bengali yang diletakkan di kawasan ruang legar.

Papan tanda itu dikongsikan menerusi akaun Threads Edywann yang jelas menunjukkan ia dikhususkan buat warga Bangladesh kerana bahasa terbabit digunakan secara meluas di negara terbabit.

Meskipun ada yang jelas menolak pendekatan sedemikian, segelintir pengguna media sosial lain beranggapan papan tanda sebegitu boleh memudahkan petugas dalam berkomunikasi.

Papan tanda di TBS yang menggunakan Bahasa Bengali berbanding Bahasa Melayu. Threads/edywann

"Papan tanda untuk memudahkan urusan pun jadi isu. Tak pernah melancong atau bekerja dengan warga asing ke? Mesti duduk di bawah tempurung sahaja," kata syuhaadaaaaaaaaaa.

"Okay sahaja kalau memudahkan. Awak faham sahajalah jenis yang tak faham bahasa ni, menyusahkan pekerja tempatan nanti. Nak kongsikan, di Lapangan Terbang Kunming, China pun ada papan tanda bahasa Melayu," kata Salawati On The Go.

"Ia cuma satu pengumuman, situ kan ramai warga asing pergi dan balik naik bas. Pekerja di sana pun tiada daya nak layan seorang demi seorang," kata Hnsshmm.

Berdasarkan semakan, papan tanda dimaksudkan dalam hantaran itu mengingatkan penumpang bas ekspres bahawa pemakaian tali pinggang keledar adalah diwajibkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram