DUNIA glamor artis sering kali memisahkan kehidupan selebriti dan masyarakat biasa yang dianggap berbeza dari segala aspek.
Namun, perkara itu berjaya disangkal oleh pelakon dan model popular, Nasha Aziz yang cukup ringan tulang serta ikhlas membantu seorang warga emas dalam kesusahan baru-baru ini.
Tingkah lakunya dirakam seorang individu melihatkan keprihatinan beliau membantu lelaki dipercayai mengutip barangan kitar semula di sekitar kawasan Gombak, Selangor.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya minta nak pegang pipi', wanita sebak dapat lepas rindu peluk, cium 'aunty' mirip arwah ibu
Tanpa segan silu, bintang filem Laila Isabella itu membantu lelaki berkenaan mengutip kotak dan barangan terpakai tanpa bimbang akan reputasinya sebagai peragawati dan pelakon berpengaruh di Malaysia.
Sikap merendah diri itu membuatkan ramai warganet tersentuh dan memuji keperibadiannya yang lembut serta pemurah.
Rakaman itu turut menarik perhatian pengguna media sosial yang berkongsi pengalaman masing-masing bertemu atau melihat sendiri sisi sebenar Nasha di luar dunia lakonan.
"Malam dia rajin solat kat Masjid Negara, pernah duduk sebelahnya lawa, lembut sangat orangnya, tak sombong," kata Nourul.
"Nasha Aziz cantik sangat, secantik budi bahasanya, semoga Nasha dan insan yang dibantu sentiasa sihat, dimurahkan rezeki dan dalam lindungan ALLAH dunia akhirat," ujar Umiezaidah.
"Pak cik ni saya pernah nampak, saya bagi botol-botol, kagum sangat dengan cara dia bersyukur dengan rezeki, syukur tengok ramai lagi buat baik pada pak cik, semoga sentiasa dilindungi," tambah Sha.
Pujian demi pujian membuktikan bahawa kehadiran Nasha sebagai selebriti bukan hanya dihargai kerana bakat atau rupanya, tetapi kerana hatinya yang penuh budi pekerti.
Kutip sampah di perkuburan
Terdahulu, pelakon berusia 54 tahun itu pernah tular apabila berkongsi siaran langsung di TikTok ketika membersihkan kawasan tanah perkuburan yang dipenuhi sampah.
Dalam rakaman tersebut, Nasha menegur sikap segelintir pengunjung yang membuang botol air dan bunga secara sembarangan selepas menziarahi kubur ahli keluarga.
"Tanah perkuburan ini sudah jadi seperti tempat pembuangan sampah, ALLAH beri saya rezeki untuk jadi cantik dan lawa, untuk apa saya gunakan? Untuk saya berbakti, insya-ALLAH," ujarnya.
Sikap rendah diri ditampilkan jelas membawa mesej bahawa kebaikan tidak memerlukan pangkat atau status seseorang.
Walaupun terkenal seantero malaya, beliau kekal sebagai individu yang menghormati semua golongan masyarakat termasuk mereka yang hidup serba kekurangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
