KEBOCORAN bumbung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat lalu menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat berhubung jadual dan mutu penyelenggaraan.
Tanda-tanya tersebut ditujukan kepada pihak pengurusan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang gagal mengelak perkara itu daripada berlaku.
Bagaimanapun, organisasi tersebut pantas tampil menjelaskan punca kebocoran dengan menyatakan insiden berkenaan disebabkan kegagalan kontraktor mengalihkan penutup papan lapis ketika melaksanakan kerja-kerja penutupan berjadual.
BACA LAGI: MAHB masih milik Malaysia — PM Anwar
BACA LAGI: [VIDEO] MAHB sahkan klip papar sekumpulan memerang melintasi landasan KKIA
Jawapan diberikan itu masih belum cukup memuaskan kerana rata-rata pengguna media sosial berpandangan kejadian itu sudah mencalarkan imej negara.
Ini kerana KLIA merupakan titik masuk utama negara untuk majoriti pelancong antarabangsa yang akan mempunyai tanggapan buruk sebaik sahaja tiba.
Namun, sesetengah pengguna media sosial tampil mempertahankan pihak MAHB dengan menyatakan insiden sebegitu tidaklah seburuk apa yang dilihat.
Pandangan itu dilontarkan dengan menyatakan insiden kebocoran teruk sebegitu kali pertama berlaku selepas KLIA beroperasi hampir 28 tahun.
"KLIA baru bocor sekali sejak 1998, tidak perlu kecam sangat. Kadang-kala ia berlaku. Ini mahu katakan malu dengan pelancong luar dan macam-macam lagi. Kalau kita yang ke luar negara, baru tahu sejauh mana bagusnya KLIA," kata GG Rahman.

Ramai seakan-akan tidak menyedari kecanggihan fasiliti di KLIA berbanding lapangan terbang di luar negara.
"Komen sebagai maklum balas itu baik, tetapi tidak perlu menyalahkan KLIA kerana gagal mengikuti pelan penyelenggaraan dan sebagainya. Sebagai seseorang yang terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan, tiada rekaan sempurna.
"Sekiranya hal-hal berlaku walaupun penyelenggaraan sudah dilakukan, barulah ada pendekatan baharu yang perlu diambil sebagai penambahbaikan," kata Fazabillah.
"Anda akan sedar bahawa KLIA adalah jauh lebih cekap, bersih dan diuruskan dengan baik. Isu kecil dalam tempoh 27 tahun, tak perlu kecam negara sendiri begitu teruk," kata Mizz Pixels.
Meskipun terdapat pihak berpandangan sedemikian, MAHB masih perlu bergerak aktif dalam memastikan tiada insiden sedemikian berlaku terlalu kerap.
Ini bagi memastikan pelancong dari dalam dan luar negara dapat menggunakan fasiliti KLIA dengan selesa tanpa perlu risau akan risiko kerosakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
