Melangkaui Sidang Kemuncak ASEAN, memartabat janji dan peranan serantau di pentas dunia


  • Bisnes
  • Jumaat, 31 Okt 2025

Anwar menyampaikan ucapan pembukaan semasa Sidang Kemuncak Asia Timur yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di KLCC baru-baru ini. — FAIHAN GHANI/The Star

JIKA rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan berita tertanya-tanya sama ada segala kemeriahan sekitar Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini sekadar sebuah pertunjukan, mereka tidaklah tersilap sama sekali. 

Sidang kemuncak besar sememangnya sinonim dengan acara penuh gilang-gemilang yang sarat dengan upacara istiadat dan perbarisan. 

Tanya sahaja penganjur bergilir BRICS atau G20, atau kota Davos dan New York setiap kali Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) berlangsung.

BACA LAGI: ‘Soundtrack’ pilihan PMX angkat melodi khazanah negara, bintang legenda curi tumpuan delegasi ASEAN

BACA LAGI: Impian remaja jadi nyata, Sarimah Ibrahim bakal kendali Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

The Petronas Twin Towers lighted up in the colors of Malaysian flag in conjunction with the Asean Summit in Kuala Lumpur, October 27, 2025. — GLENN GUAN/The Star

Menara Berkembar Petronas disinari warna Jalur Gemilang sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur. — GLENN GUAN/The Star

Kuala Lumpur bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada salah satu Sidang Kemuncak ASEAN paling sibuk setakat ini, ia berlangsung pada saat penting dalam sejarah — satu pencapaian luar biasa walaupun bagi tuan rumah paling berpengalaman.

Begitupun jangan silap — apa yang berlaku di dewan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan hotel-hotel sekitarnya bukanlah sekadar perarakan, tetapi ibarat tarian diplomasi moden yang kompleks, pantas namun penuh keseimbangan.

Ia merupakan kemuncak kepada hampir dua tahun penyelarasan, perancangan strategik dan ketekunan — satu rangkaian kejayaan serta kompromi kreatif yang akhirnya membuahkan hasil.

Pegawai Malaysia, khususnya yang terlibat dalam Pasukan Petugas Peringkat Tinggi yang mempengerusikan bersama Visi ASEAN 2045 dan Deklarasi Kuala Lumpur, bekerja dalam diam namun tekun bagi merealisasikan matlamat tersebut. 

Dan ya, terdapat juga kompromi — kerana itulah harga sebuah konsensus dan seni dalam tadbir urus.

Trump, Tarif dan Perdamaian

Meyakinkan seorang Presiden Amerika yang skeptikal — yang sebelum ini hanya pernah menghadiri satu Sidang Kemuncak ASEAN — untuk kembali merupakan satu kejayaan diplomatik yang dicapai Malaysia dalam diam.

Donald Trump mungkin terkenal dengan sifatnya yang tidak dapat dijangka serta kecenderungan mencetuskan polarisasi, namun tidak dapat dinafikan pengaruh besar jawatannya terhadap rantau ini.

Penglibatannya di tanah ASEAN menjadi bukti kepada ketabahan Malaysia dan petanda kepada kebangkitan semula relevansi ASEAN.

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa menyambut ketibaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Kompleks Bunga Raya, Subang. 26 Oktober 2025 Pic from AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.

Anwar (kanan) menyambut ketibaan Donald Trump di Kompleks Bunga Raya, KLIA. — AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

Penyudah yang paling signifikan ialah perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand, yang dimeterai hasil diplomasi berterusan Malaysia dan turut ditandatangani oleh Trump serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Dalam keadaan tegang ketika itu, kejayaan tersebut amat bermakna. 

Kedua-dua pemimpin mengakui betapa sukarnya memujuk dua jiran yang berbangga dengan kedaulatan masing-masing untuk mengundurkan diri dari ambang konflik, namun mereka sama-sama menegaskan bahawa perdamaian, walau tidak sempurna, tetap satu-satunya jalan ke hadapan.

Perjanjian itu mungkin belum menyelesaikan isu asas pertikaian, namun ia berjaya memulihkan ketenangan yang amat diperlukan.

Diplomasi Kolaboratif

Kehadiran Brazil dan Afrika Selatan sebagai Tetamu Pengerusi tahun ini menjadi tanda komitmen Malaysia terhadap diplomasi masa depan yang lebih luas — membuka jaringan kerjasama global ASEAN. 

Ini berasaskan kepada langkah berani Malaysia awal tahun menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.

Dalam dunia di mana hubungan dengan Washington dan Beijing kekal penting namun semakin rumit, pendekatan antara serantau (inter-regionalism) menjadi pertaruhan terbaik ASEAN. 

Ia mencerminkan keyakinan Malaysia bahawa masa depan ASEAN tidak terletak pada pengunduran diri di sebalik sempadan, tetapi pada keyakinan untuk mendepani dunia dengan tenang dan berprinsip.

Satu lagi detik penting ialah ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) — sebuah proses berasaskan kepimpinan yang lahir di Kuala Lumpur sendiri. 

Anwar (kanan) menerima kehadiran Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva yang melakukan lawatan rasmi ke Malaysia. — Pejabat Perdana Menteri

Forum itu yang asalnya dirangka sebagai medan perbincangan strategik, politik dan ekonomi secara terbuka, telah lama dikritik kerana terlalu tersusun dan hilang ketajaman.

Namun tidak lagi. Malaysia dan negara anggota lain berjaya memulihkan semangat asal EAS dengan meluluskan Deklarasi Kuala Lumpur tentang Keamanan dan Kestabilan — kenyataan bersama pertama dalam tempoh tiga tahun yang mendapat konsensus semua anggota.

Usaha sebelum ini di Jakarta dan Vientiane gagal akibat kecenderungan kuasa besar menjadikan platform itu medan perebutan pengaruh.

Namun, untuk jangka panjang, anggota EAS perlu menilai semula fungsi sebenar mekanisme ini. ASEAN tidak boleh memikul beban itu sendirian; ia memerlukan komitmen ikhlas daripada rakan dialog utama agar forum itu kekal membina, bukan konfrontasi.

Memperkukuh Perdagangan dan Teknologi

Malaysia menggunakan pengerusiannya dalam ASEAN 2025 untuk memperdalam hubungan ekonomi dalaman rantau ini supaya ASEAN kurang terdedah kepada kejutan tarif dan tekanan geopolitik ekonomi.

Langkah ini termasuk menaik taraf Protokol Kedua Pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang bukan sahaja mengurangkan tarif, tetapi memodenkan peraturan kastam dan memperbaiki penyelesaian pertikaian supaya barangan dapat bergerak 'lebih pantas, mudah dan murah' merentasi sempadan ASEAN.

Begitu juga, Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0) diperluas ke bidang digital dan hijau — tanda bahawa ASEAN berhasrat mengekalkan akses pasaran dan rantaian bekalan dengan China walaupun tekanan tarif Amerika meningkat.

Pada masa sama, ASEAN mengumumkan kesimpulan substantif rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang akan menyeragamkan peraturan aliran data, e-dagang dan pembayaran digital, dijangka ditandatangani pada 2026.

Kuala Lumpur juga menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak RCEP pertama sejak perjanjian itu berkuat kuasa pada 2022, dengan para pemimpin mengakui perlunya memperkukuh pelaksanaan penuh menjelang semakan pada 2027.

Namun, cabaran sebenar kekal — mampukah ASEAN benar-benar meningkatkan perdagangan intra-ASEAN melebihi retorik?

Perdagangan dalam rantau ini kekal sekitar 20 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan ASEAN — hampir sama seperti dua dekad lalu walaupun tarif hampir sifar. 

Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao ketika di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini. — FAIHAN GHANI/The Star

Halangan bukan tarif (NTB) terus menjadi penghalang utama, manakala kadar penggunaan pelbagai perjanjian sedia ada masih rendah.

Walaupun begitu, langkah terkini memberi sedikit sinar harapan. ATIGA yang dinaik taraf kini menyasarkan pengurangan NTB dan friksi kastam, bukan sekadar potongan tarif. 

DEFA pula dijangka memperdalam integrasi digital dan kewangan, manakala Rangka Kerja ASEAN bagi Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu (AFISS) diharap dapat menarik pelaburan silang sempadan untuk memperkukuh jaringan pengeluaran serantau.

Namun cabarannya masih ketara — ASEAN kekurangan penguatkuasaan tegas, ATIGA hanya berkuat kuasa selepas semua ratifikasi, DEFA belum ditandatangani dan AFISS masih di peringkat awal.

Kemasukan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 juga menambah cabaran pembangunan tidak seimbang yang memerlukan sokongan jangka panjang dari segi peraturan dan infrastruktur.

Oleh itu, ASEAN perlu memperkemas peraturan, menggalakkan pelaburan serantau, tingkatkan mobiliti tenaga kerja dan perkukuh integrasi rantaian bekalan, sejajar dengan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026–2030.

Kepimpinan dan Peranan Strategik Malaysia

Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa tahun ini menyaksikan ASEAN diangkat ke tahap baharu — visinya lebih jelas, jaringannya lebih luas dan keyakinannya diperbaharui. 

Dengan penyertaan Timor-Leste sebagai ahli ke-11, ASEAN kini benar-benar lengkap sebagai komuniti Asia Tenggara.

Tugas kini berpindah ke tangan Filipina, yang akan mempengerusikan ASEAN tahun depan — dan dari cara Manila mempersiapkan diri, masa depan ASEAN dilihat berada dalam tangan yang baik.

Penutupan musim sidang kemuncak ini menandakan kejayaan bersama diplomat, agensi dan rakan Malaysia yang berusaha gigih mencapai hasil bermakna. 

KUALA LUMPUR, Oct 27 --Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim chairs the 5th Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) Summit at the Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) today, in conjunction with the 47th ASEAN Summit and Related Summits.-- fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVED

Kepengerusian Malaysia mengembalikan keyakinan rantau ini terhadap kekuatan diplomasi senyap dan nilai praktikal ketekunan yang berterusan.

Meskipun tidak semua bidang mencatat kejayaan besar, hasil keseluruhannya cukup signifikan — Malaysia telah mengembalikan keyakinan rantau ini terhadap kekuatan koordinasi dan ketekunan pragmatik.

Lebih mendalam lagi, kejayaan ini mencerminkan kebangkitan semula visi dan pelaksanaan dasar luar Malaysia sejak 2023 — diperbaharui melalui diplomasi aktif Perdana Menteri yang berpaksikan prinsip dan tujuan jelas.

Pendekatannya menggabungkan prinsip dengan pragmatisme, daya tarikan dengan ketegasan, serta keyakinan bahawa suara Malaysia mesti didengari — bukan sekadar dicatat, apatah lagi diabaikan.

Di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia tampil semula sebagai pengantara yang bijaksana dan jambatan kukuh dalam dunia yang bergolak. 

Ia membuktikan bahawa negara kecil dan sederhana masih mampu memainkan peranan bermakna melalui kejelasan tujuan dan keteguhan moral.

Cabaran kini ialah memastikan momentum ini tidak pudar selepas tumpuan media beralih — untuk menzahirkan kata-kata dalam bentuk institusi dan kerjasama yang berkekalan.

Jika semangat itu terus hidup, pengerusian ASEAN oleh Kuala Lumpur akan dikenang bukan kerana kemeriahannya, tetapi kerana ketenangan dan ketegasannya — bukan kerana perbarisan, tetapi kerana tujuannya. — Majoriti

Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah 

Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram