[VIDEO] Dikesan tinggalkan stadium lebih awal, fans desak CEO Selangor FC letak jawatan


  • Podium
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Tangkap layar menunjukkan kelibat Johan dirakam keluar melalui terowong pemain ketika keadaan stadium masih terkawal.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon dikesan meninggalkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor lebih awal sebelum tamat perlawanan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) menentang Persib Bandung pada Khamis.

Menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial, kelibat Johan dirakam keluar melalui pintu masuk pemain ketika keadaan di stadium masih terkawal.

"CEO cabut awal tinggalkan pasukan," kata hantaran tersebut yang dikongsikan oleh @ultraSel_.

BACA LAGI: [VIDEO] 'I can feel it bro', fans JDT terharu usaha keras Selangor di sebalik tangisan Izhan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Penyokong Selangor sambut baik kami', fans Persib dakwa pihak keselamatan punca sebenar insiden hangat di MBPJ

Suasana tidak terkawal dilaporkan sejurus tamat perlawanan yang menyaksikan Selangor FC tewas 2-3 kepada wakil Indonesia itu sekali gus menamatkan cabaran mereka di pentas Asia.

Kekalahan tersebut juga menyaksikan skuad Gergasi Merah menamatkan saingan peringkat Kumpulan G di tangga tercorot, di belakang Persib Bandung, Bangkok United (Thailand) dan Lion City Sailors (Singapura).

Malah, ia merupakan kekalahan keempat berturut-turut Selangor dalam saingan berkenaan.

Susulan kegagalan itu, Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) menggesa Johan dan Pengarah Teknikal, Shahril Mokhtar meletakkan jawatan atas kegagalan mengemudi pasukan dengan baik sepanjang musim ini.

“Desakan ini dibuat atas kegagalan pasukan Selangor FC meneruskan cabaran dalam kempen ACL 2 serta prestasi yang dilihat tidak menentu sepanjang tahun ini,” menurut kenyataan rasmi SSFC.

Terdahulu, suasana tegang dilaporkan berlaku di Stadium MBPJ apabila sebahagian penyokong dilihat bertindak agresif selepas tamat perlawanan.

Ada antara mereka merempuh bahagian utama tempat duduk penonton dan cuba memasuki bilik orang kenamaan (VIP) untuk mencari Johan.

Bukan itu sahaja, ada beberapa penyokong turut dilapor cuba menutup pintu keluar stadium sebagai tanda protes terhadap pengurusan pasukan selepas kegagalan terkini itu.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang kenyataan balas daripada Johan berhubung desakan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram