BEKAS bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri kembali mencuri tumpuan apabila menampilkan aksi lincah bersama kelab di Cyprus, AEL Limassol meskipun pasukannya tumpas 0-1 dalam perlawanan terbaru menentang Pafos FC.
Pemain sayap kelahiran Argentina itu, yang pernah menjadi antara watak penting ketika era kegemilangan JDT, kini beraksi di pentas baharu selepas menyertai AEL Limassol pada awal musim ini.
Dalam pertemuan menentang Pafos, Forestieri yang kini sudah menjangkau usia 35 tahun diturunkan dalam kesebelasan utama dan beberapa kali mencetuskan bahaya di kubu lawan.
BACA LAGI: [VIDEO] Nazmi Faiz paling disiplin, Aidil Zafuan kongsi karakter lain Fernando Forestieri di JDT
BACA LAGI: Bukan saja Liga Super, isu gaji landa kelab lama Hidalgo, Forestieri di England
Walaupun perlawanan berakhir tanpa kemenangan buat AEL Limassol, aksi bertenaga Forestieri tetap mencuri perhatian apabila dia beberapa kali berjaya melepasi kawalan pertahanan kental yang diketuai bekas pemain Chelsea, David Luiz.
Luiz yang kini berusia 38 tahun, menyertai Pafos FC pada awal musim ini selepas karier panjang di Eropah bersama kelab ternama seperti Chelsea, Paris Saint-Germain dan Arsenal.
Pengalaman luasnya jelas membantu benteng pertahanan pasukan, namun kelincahan Forestieri nyata memberi tekanan kepada pemain veteran Brazil itu sepanjang perlawanan berlangsung.
Forestieri yang sinonim dengan gaya permainan kreatif dan kemampuan melakukan larian pantas di sayap, pernah menjadi antara pemain import paling disayangi penyokong JDT selepas menyertai skuad Harimau Selatan pada Januari 2022.

Forestieri menikmati kenangan manis sepanjang dua musim beraksi bersama skuad Harimau Selatan. — Instagram/Forestieri
Walaupun kariernya di JDT berakhir lebih awal akibat kecederaan, Forestieri sempat menikmati kejayaan manis apabila berjaya menjulang kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Dia yang berpengalaman sekitar Eropah, termasuk kelab England iaitu Sheffield Wednesday dan beberapa pasukan Itali tidak pernah menjulang sebarang gelaran sebelum sah menjadi bintang JDT
Kini bersama AEL Limassol, Forestieri dilihat sedang menikmati kebangkitan semula kariernya, dan prestasinya menentang Pafos menjadi bukti bahawa bekas bintang JDT itu masih memiliki sentuhan dan kualiti yang mampu menggegarkan pertahanan lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
