Berniaga sambil merokok, pengendali makanan di Melaka terang-terang langgar peraturan secara terbuka


  • Massa
  • Jumaat, 31 Okt 2025

Pelanggan tersebut menyatakan kekecewaan kerana asap rokok itu boleh mencemarkan produk dijual.

SETIAP pengendali makanan perlu menjaga kebersihan untuk memastikan setiap barangan dijual kepada pelanggan dalam keadaan bersih dan dijauhi risiko terhadap kesihatan.

Tetapi, masih terdapat segelintir pihak yang mengendahkan aspek berkenaan dengan bertindak sesuka-hati tanpa memikirkan kesan ke atas pengguna.

Itulah apa yang dilalui seorang pengguna Threads, Lili Sayuni yang berkongsi pengalaman ketika singgah untuk membeli makanan ringan di sebuah kawasan pelancongan sekitar Melaka.

BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Orang Lembah Klang degil!

BACA LAGI: [VIDEO] Samseng acah-acah mahu langgar lepas mengamuk ditegur merokok di stesen minyak

Kesalahan tersebut dibuat pengendali makanan yang membuka gerai di Melaka.

Dalam sekeping foto dikongsikan, penjual terbabit kelihatan sedang menghisap rokok yang jelas melanggar Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang melarang semua pengendali untuk menggunakan produk tembakau tersebut.

"Ciri ciri orang tak guna akal. Kendali makanan, tetapi tangan tu… Bukan sekali dua ya ternampak peniaga sebegini di sini. Kita pula sudah buat pesanan, malas cari gaduh untuk membatalkannya," kata pemilik akaun berkenaan.

Selain melanggar peraturan, tindakan pemilik gerai itu untuk merokok boleh menjejaskan kualiti produk yang dijual kerana terdedah dengan asap dan bahan kimia berbahaya.

Hantaran itu menerima sambutan hangat apabila orang ramai turut berkongsi pengalaman berdepan situasi sedemikian ketika berkunjung ke premis makanan.

"Saya pernah hadap situasi ini juga. Tukang goreng ayam berempah nasi kukus di Melaka juga. Saya tetap beli, tetapi selepas bayar, saya sempat tegur penjual itu. Alhamdulillaah, dia terima teguran saya tu," kata Madam Atie.

Peraturan semasa jelas melarang mana-mana individu untuk merokok berhampiran premis makanan.

"Jadikan pengajaran untuk peniaga, rakan peniaga, ahli keluarga peniaga, eh semua la senang cakap. Tak perlu melenting sebab benda dah nampak jelas salah," kata Zharfan Azhari.

"Saya kalau nampak seperti ni, saya akan batalkan pesanan. Ya, nampak kejam tetapi apabila sedang meniaga terutamanya makan, harap faham etika kebersihan," kata Suria Sirajuddin.

Peraturan yang menghalang seseorang merokok sekitar premis penjualan makanan turut ditekankan dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pindaan 2018 yang melarang kelakuan tersebut di mana-mana tempat makan.

Ini kerana lokasi tersebut sudah diwartakan sebagai tempat larangan merokok bermula 1 Januari 2019 dengan mana-mana individu yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram