[VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Orang Lembah Klang degil!


  • Massa
  • Rabu, 27 Nov 2024

Segelintir individu berani melanggar peraturan larangan merokok walaupun poster larangan sudah dipamerkan.

TAHUKAH anda kandungan asap rokok mengandungi butana, karbon monoksida, aseton, arsenik dan benzin manakala kandungan cecair vape pula mengandungi prophilin glicol dan gliserin yang boleh membunuh?

Namun, kedua-dua kandungan itu tidak sedikit pun menggerunkan 'kaki rokok dan vape' sebaliknya mereka terus terhibur dengan kepulan asap yang bermain di udara.

Bertitik tolak daripada bahaya itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mewartakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bagi menyelamatkan nyawa manusia yang tidak berdosa dek kerana keegoan kaki rokok dan vape.

Setelah hampir tiga bulan akta tersebut diperkenalkan sejak 1 Oktober lalu, penguatkuasaan undang-undang bagaikan gagal membendung 'hidangan asap' ini apabila tinjauan Majoriti mendapati, bersepah 'kaki rokok dan vape' melampiaskan 'ubat meredakan tekanan itu' di tempat awam.

BACA LAGI: [VIDEO] Penghapusan NGV: Undang risiko mekanikal enjin, kekangan stok tangki gas — Pengendali bengkel

BACA LAGI: [VIDEO] Penghapusan NGV: GTSM mohon kerajaan MADANI pertimbang subsidi petrol kepada pemandu teksi

WhatsApp Image 2024-11-26 at 6.06.47 PM

Individu dikesan menghisap vape di dalam kawasan restoran sekitar Shah Alam walaupun poster larangan merokok sudah dipamerkan.

Tinjauan Majoriti di tiga restoran mamak terkemuka sekitar Lembah Klang melibatkan Shah Alam, Bangsar, dan Petaling Jaya membuktikan mereka tidak mengendahkan poster larangan merokok apatah lagi memikirkan orang di sekeliling.

Menerusi pemerhatian selama sejam di sebuah 'port lepak' terletak di Seksyen 7, Shah Alam mendapati, seorang satu individu dikesan merokok di luar kawasan restoran, sementara tiga lagi dilihat menghisap vape di dalam premis restoran terbabit.

Namun, pemerhatian di tempat awam sekitar bandar berkenaan menunjukkan situasi lebih membimbangkan apabila lebih 10 individu merokok, manakala tiada pengguna vape dikesan.

Tempat awam tersebut antaranya di Taman Tasik Shah Alam yang mana poster larangan merokok jelas dipamerkan tetapi masih ada individu yang berani bertindak sedemikian.

Sementara itu, tinjauan di sebuah restoran nasi kandar sekitar Bangsar dan Petaling Jaya pula mendapati, situasi lebih merisaukan apabila empat individu menghisap vape dan seorang merokok di kawasan restoran.

Di tempat awam berhampiran Lorong Ara Kiri 1, Bangsar, hanya dua individu didapati merokok, sementara tiada yang menghisap vape.

Melalui pemerhatian tersebut, penggunaan vape semakin meningkat, khususnya di kawasan restoran seperti Bangsar dan Petaling Jaya.

Walaupun, merokok di tempat awam masih menjadi masalah ketara, seperti di Shah Alam selepas lebih 10 individu dikesan melanggar larangan berkenaan.

Tinjauan tersebut secara tidak langsung mencerminkan perlunya penguatkuasaan lebih tegas dan kesedaran masyarakat untuk menghormati peraturan demi menjaga kesihatan awam.

Pemilik restoran turut tidak terkecuali dalam memastikan larangan itu dipatuhi dengan mengambil langkah lebih proaktif.

Dalam tinjauan seterusnya, Majoriti akan mendapatkan reaksi peribadi daripada pengguna kedua-dua produk tembakau dan cecair nikotin tentang bagaimana ia meracuni emosi dan mental mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram