[VIDEO] Kuda ‘terlepas’ punca 2 kemalangan berasingan di Merlimau, penunggang motor maut


  • Tular
  • Selasa, 28 Okt 2025

Seorang lelaki maut dalam perjalanan ke tempat kerja selepas terlibat dalam kemalangan dengan seekor kuda yang berkeliaran di Merlimau, Melaka pada Selasa. — Melaka Kini

DUA kemalangan dilaporkan berlaku hampir serentak di Merlimau, Melaka pada Selasa selepas seekor kuda dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan, mengakibatkan seorang lelaki maut dalam perjalanan ke tempat kerja.

Difahamkan, mangsa yang dikenali Rajak Ismail meninggal dunia di tempat kejadian.

Tragedi itu menimbulkan kemarahan penduduk setempat serta pengguna media sosial yang menyifatkan kejadian berpunca daripada kecuaian pemilik haiwan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Asalnya bersih siap perabot’, pemilik kecewa ‘penyewa dari neraka’ buat macam tempat longgokan sampah di KL

BACA LAGI: ‘Tolonglah, wajibkan sekuriti fasih bahasa Melayu’, wanita luah pengalaman cemas dikejar lelaki di parkir kondominium

Seorang pengguna Facebook, Amyzah Mua Melaka, meluahkan rasa kesal dan marah dengan kecuaian pemilik kuda yang didakwa tidak menjaga haiwan mereka dengan baik.

"Kemalangan maut di Sempang Merlimau. Maklumat awal disebabkan kuda yang sama.

"Ada dua kejadian pada masa yang sama, satu di depan kubur Cina dan satu lagi di depan perkuburan orang Islam berhampiran Sekolah Rendah Sempang," tulisnya.

Amyzah turut memuat naik satu video memaparkan keadaan semasa di tempat kejadian ketika melalui kawasan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Nor Azlinda Nordin mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas terlanggar seekor kuda yang tiba-tiba melintas jalan di Jalan Sempang Bukit Kuda, Merlimau.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu, mangsa, Rajak Ismail, 59, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jasin meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR dipercayai dalam perjalanan dari arah Serkam menuju ke Semujuk.

“Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai telah melanggar haiwan tersebut yang melintas dari arah kiri jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Tambah beliau lagi, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh waris keluarga.

Ujarnya, siasatan turut mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran, dan pihak polis telah mengesan serta menemu bual pemilik kuda berkenaan bagi membantu siasatan.

Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ahmad Aqil Yusoff di talian 013-9393747 bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram