SEORANG anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bukit Mertajam mencuri tumpuan ramai apabila videonya membantu mangsa banjir menggunakan bahasa isyarat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Guar Perahu, Seberang Perai, Pulau Pinang tular di media sosial.
Dalam rakaman berdurasi 37 saat itu, anggota wanita berkenaan berinteraksi dengan seorang mangsa banjir warga emas menggunakan isyarat tangan bagi menyampaikan maklumat dipercayai berkaitan bantuan di PPS berkenaan.
Tindakannya bukan sahaja memudahkan komunikasi dengan mangsa, malah mencetuskan rasa kagum orang ramai termasuk rakan setugas yang tidak menyedari kemahiran luar biasanya itu.
BACA LAGI: Datang tak kosong, Infantino perkenal kejohanan baharu, lebih baik dari Piala AFF
BACA LAGI: Kebajikan anggota diutamakan, PDRM jamin selesaikan isu bayaran upah jahit pakaian seragam
Video tersebut dikongsikan di laman Facebook Penang Kini pada Ahad.
“Seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam S.P.T Bukit Mertajam mencuri tumpuan apabila membantu mangsa banjir di PPS Guar Perahu menggunakan bahasa isyarat. Tindakan spontan itu mengejutkan rakan-rakannya yang tidak mengetahui kemahirannya itu,” katanya.
Rakaman itu segera mendapat perhatian warga maya yang memuji kepekaan dan empati anggota berkenaan dalam menjalankan tugas kemanusiaan.
“Macam ini kena bagi kredit. Bagus up skill dengan sign language ni. At least suara mereka kita dengari. Terbaik kakak,” kata Rafiq Azizan.
“Saya bangga warga APM mempunyai pelbagai kemahiran bagi menjaga keselamatan dan kebajikan orang awam yang memerlukan bantuan, khususnya ketika berlakunya kecemasan atau bencana. Alhamdulillah, syukur,” kata Norhafifi Ismail.
“Terbaiklah dalam menyantuni mangsa banjir. Walau guna (bahasa) isyarat,” ujar Suzanna Raman.
Rakaman berkenaan menjadi simbol bahawa dalam setiap bencana, bahasa kemanusiaan tidak memerlukan suara hanya keikhlasan dan kepedulian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
