TH utamakan kebajikan bakal jemaah, buka peluang rayuan haji lebih awal mulai 3 November


  • Massa
  • Isnin, 27 Okt 2025

Permohonan rayuan untuk mengerjakan ibadat haji bagi tahun 1447H/2026M bermula 3 November 2025 menerusi aplikasi dan laman sesawang THiJARI. — Gambar hiasan

LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan untuk mengerjakan ibadat haji bagi tahun 1447H/2026M bermula 3 November 2025 menerusi aplikasi dan laman sesawang THiJARI.

Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun berkata, langkah membuka proses rayuan lebih awal diambil bagi memudahkan bakal jemaah membuat persiapan rapi selain memastikan proses permohonan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

“TH sentiasa komited meletakkan kepentingan serta kebajikan bakal haji sebagai keutamaan. Pembukaan awal ini membolehkan mereka membuat perancangan lebih teratur sebelum berangkat ke tanah suci,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: Kebajikan anggota diutamakan, PDRM jamin selesaikan isu bayaran upah jahit pakaian seragam

BACA LAGI: Penjawat awam, wanita antara 179 ditahan dalam Ops Perdana AADK Terengganu

Rayuan Haji 1447H/2026M akan dibuka bermula 3 November.

Menurut beliau, bagi permohonan rayuan luar giliran bagi tahun haji semasa, beberapa kriteria akan diambil kira dalam proses penilaian merit, termasuk tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan dalam akaun TH, kekerapan permohonan rayuan serta penglibatan dalam Kursus Asas Haji yang dikendalikan oleh TH. 

"Permohonan rayuan dibuka kepada pendeposit yang mempunyai simpanan minimum RM15,000 dalam akaun masing-masing.

"Jemaah yang terpilih melalui proses rayuan perlu menanggung kos penuh haji berjumlah RM33,300 bagi musim 1447H/2026M, selaras dengan konsep istitoah (kemampuan)," ujarnya lagi.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, keutamaan akan diberikan kepada permohonan rayuan mahram, pengiring kepada jemaah lanjut usia, serta pengiring jemaah orang kurang upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji.

Para pendeposit TH boleh mendapatkan maklumat proses membuat permohonan rayuan, menyemak kategori rayuan dan status permohonan melalui aplikasi THiJARI atau melayari laman sesawang www.thijari.com.my.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram