ISU pilih kasih dalam penguatkuasaan undang-undang kembali hangat diperkatakan selepas tular mesej didakwa daripada seorang pegawai polis yang mengeluarkan arahan supaya anggota tidak menyaman kenderaan milik seorang ahli parlimen.
Tindakan itu nyata menimbulkan kemarahan orang ramai yang menganggap budaya pilih kasih masih wujud apabila individu kenamaan atau wakil rakyat seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang.
Sedangkan rakyat biasa tetap dikenakan saman walaupun atas kesalahan kecil seperti berhenti sebentar di tepi jalan atau terlupa memperbaharui kupon parkir selang beberapa minit sahaja, mereka tetap tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Kemarahan itu memuncak apabila satu mesej arahan tular di media sosial, khususnya di Telegram dan X, dengan ramai pengguna menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap sikap tidak adil dalam penguatkuasaan undang-undang.
"Salam cik-cik semua. Diminta semua anggota kenal kereta YB (Yang Berhormat). YB beritahu kena saman oleh anggota kita. Diminta tengok-tengok serta lihat-lihat kereta YB," tangkap layar pesanan itu.
Arahan tersebut mencetuskan persoalan besar dalam kalangan pengguna media sosial yang mempersoalkan sama ada undang-undang hanya tegas kepada rakyat biasa, namun longgar terhadap golongan berpengaruh.
"Arahan Ketua Polis Balai Sri Petaling, Inspektor Yeo (Joo Boon) minta anggota jangan saman kereta-kereta YB. Maksudnya ada double standard untuk saman ini dikeluarkan? Hanya untuk orang awam kalau VVIP tidak boleh? Adakah macam itu?," dakwa sebuah saluran Telegram tempatan, Edisi Siasat.
BolehLand things pic.twitter.com/0CXh2AF9HH
— K (@DefaltM8) October 23, 2025
Kisah ini turut menarik perhatian pengguna X menggunakan nama Natcromancer, yang berkongsi foto kereta didakwa milik seorang Ahli Parlimen diletakkan di hentian bas Jalan Kuchai Maju sehingga menyusahkan pengguna bas ulang-alik T586.
"Lebih mengejutkan, YB berkenaan dilaporkan meminta agar tidak dikenakan saman, seolah-olah dirinya kebal daripada tindakan undang-undang.
"Namun, hakikatnya tiada siapa yang berada di atas undang-undang lebih-lebih lagi mereka yang menggubal undang-undang itu sendiri.
"Malah, tindakan sebegitu wajar dikenakan saman lebih tinggi sebagai pengajaran kepada semua," kata pemilik akaun itu,
Berdasarkan foto yang tersebar, kenderaan terbabit didakwa milik Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan selepas beliau dilihat berada berhampiran kereta tersebut.

Tangkap layar jawapan ringkas daripada Syahrezan Johan.
Bagaimanapun, Syahredzan tampil menafikan dakwaan itu, menjelaskan kenderaan yang dimaksudkan bukan miliknya.
"Tidak," jawabnya ringkas ketika ditanya oleh pengguna di platform X.
Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung mesej yang tular itu.
Namun, isu berkenaan terus menjadi topik perdebatan hangat di media sosial dengan ramai menuntut agar penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara adil dan telus tanpa mengira pangkat atau status.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tampil mengesahkan bahawa kereta Volvo hitam yang tular itu sememangnya miliknya.
Memetik laporan BuzzKini, Teresa menjelaskan bahawa masalah kekurangan lot parkir di kawasan Kuchai Entrepreneur’s Park, tempat terletaknya Pusat Khidmat Masyarakat beliau, menyebabkan pemandu peribadinya terpaksa meletakkan kenderaan itu di tepi jalan sementara menunggu beliau menyelesaikan urusan pejabat.
“Pemandu saya selalu terpaksa letak kereta saya di tepi jalan bila menunggu saya menyelesaikan urusan di pejabat. Ini bermaksud tempoh letak kereta di tepi jalan memang tidak lama,” katanya.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Beliau turut mengakui pernah merungut kepada pegawai polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai masalah kekurangan tempat letak kenderaan di kawasan tersebut.
“Saya juga pernah merungut dengan pegawai DBKL berkenaan masalah tidak cukup tempat letak kereta ini,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Teresa menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau mengarahkan polis agar tidak mengeluarkan saman terhadap kenderaannya.
“Saya tidak ada kuasa untuk beri apa-apa arahan kepada pegawai polis atau pegawai penguatkuasaan DBKL supaya tidak keluarkan saman. Saya tetap bayar semua kompaun trafik daripada polis dan DBKL,” jelasnya.
Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung mesej yang tular itu.
Namun, isu berkenaan terus menjadi perdebatan hangat di media sosial, dengan ramai menuntut agar penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara adil dan telus tanpa mengira pangkat atau kedudukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
