[VIDEO] Mangsa letupan mercun di Kulim dibenar keluar hospital, 2 suspek direman seminggu bantu siasatan


  • Tular
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Gambar tular orang awam yang cedera didakwa terkena letupan mercun di Paya Besar pada Isnin. — Facebook

SAMBUTAN Deepavali  bertukar kecoh apabila sebuah bekas simpanan mercun dikatakan meletup ketika pertunjukan bunga api berlangsung pada Isnin di Paya Besar, Kulim, Kedah. 

Menerusi hantaran pengguna Facebook, CT Zalinasp, kejadian itu turut menyebabkan beberapa kenderaan rosak dan cermin pecah selain dua lelaki masing-masing berbangsa Melayu dan India dilaporkan melecur akibat terkena percikan mercun.

BACA LAGI: [VIDEO] Suami 2 beranak mati dibunuh di Juru direman 7 hari bantu siasatan polis

BACA LAGI: Dua malim ditahan, pendaki Gunung Liang meninggal dunia kerana masalah kesihatan, bukan terjatuh — Polis

"Mercun meletup kat bawah ramai orang cedera dan banyak kereta rosak cermin pecah, dua lelaki Melayu dan Indian melecur terkena mercun," tulisnya dalam hantaran yang tular di media sosial.

Beberapa video dan foto yang turut tersebar menunjukkan keadaan panik di lokasi kejadian, dengan orang ramai bertempiaran lari sementara pihak polis serta ambulans dilihat bergegas ke tempat kejadian.

Menerusi rakaman video orang awam juga menunjukkan asap tebal turut memenuhi ruang udara susulan letupan berkenaan yang dipercayai berpunca daripada simpanan mercun di kawasan itu

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah memaklumkan seramai 21 mangsa yang cedera dalam insiden letupan mercun di Kulim telah menerima rawatan dan kini telah dibenarkan keluar dari hospital, manakala seorang lagi masih menjalani rawatan susulan.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, jabatan itu menjelaskan bahawa seorang mangsa yang mengalami kecederaan di kepala telah dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

“Lima mangsa telah dimasukkan ke Hospital Kulim susulan letupan berkenaan, dengan tiga daripada mereka berjaya menjalani pembedahan dengan sempurna.

“Kesemua lima mangsa kini telah dibenarkan pulang dan akan meneruskan rawatan susulan,” kata kenyataan itu.

Mangsa lain pula hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 12.45 pagi pada sambutan Deepavali (20 Oktober) itu, seorang lelaki dilaporkan cedera parah, manakala 21 individu lain termasuk seorang warga Bangladesh mengalami kesan melecur dan luka ringan selepas mercun meletup di sepanjang Jalan Paya Besar.

Dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula Selasa (21 Oktober) bagi membantu siasatan berhubung kejadian letupan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram