Ibarat senasib Mustaqqeem, anak mangsa pendaki meninggal dunia di Gunung Tahan 3 tahun lalu kongsi pengalaman pahit


  • Massa
  • Khamis, 23 Okt 2025

Pelbagai kisah mengenai pendaki ditinggalkan ketika menyertai ekspedisi dikongsikan di media sosial.

TRAGEDI menimpa pendaki, Allahyarham Mustaqeem Mansor yang ditinggalkan sebelum meninggal dunia di Gunung Liang, Perak pada 10 Oktober lalu mengejutkan ramai pihak tentang sisi gelap peminat sukan itu.

Ini kerana selepas insiden berkenaan, ramai berkongsi bahawa pengalaman sedemikian pernah dialami apabila malim gunung bertindak meninggalkan kumpulan meskipun ekspedisi belum berakhir.

Tindakan sebegitu sememangnya mengundang kemarahan kerana individu terbabit dibayar untuk memastikan setiap peserta dapat keluar dari kawasan pendakian dengan selamat.

BACA LAGI: Al-Fatihah untuk suami selalu mengutamakan isteri, keluarga', isteri arwah Mustaqqeem luah rindu tak berpenghujung

BACA LAGI: Prinsip 'no one left behind' hanya mitos, misteri kematian pendaki Gunung Liang masih belum terungkai

Arwah Mustaqeem terpaksa diturunkan menggunakan helikopter selepas beberapa hari ditinggalkan.

Tampil berkongsi pengalaman berkaitan isu sedemikian ialah pengguna Threads, Raja Ayman yang menceritakan bapanya, Raja Azlan Shah menyertai kumpulan pendakian di Gunung Tahan, Perak dan meninggal dunia di lokasi tersebut.

Jelasnya, pendakian terbabit memakan masa empat hari tiga malam, namun terpaksa dilanjutkan sehari disebabkan kesihatan bapanya yang tidak sihat pada hari kedua.

"Dia tidak dapat makan sejak hari kedua ekspedisi dan mengalami demam, cirit-birit dan muntah, tetapi perbincangan untuk mendapatkan bantuan hanya dibuat pada hari keempat.

"Kes baru-baru ini terasa amat dekat dengan apa yang menimpa arwah bapa saya pada 2022. Dia keluar lakukan pendakian bersama rakan, tetapi ditinggalkan selepas kata tidak sihat," tulisnya.

Dalam perkongsian tersebut, pengguna berkenaan menceritakan bagaimana hanya ahli keluarganya tidak diberitahu bahawa salah seorang dari mereka pengsan ketika aktiviti itu.

Pengguna Threads itu menceritakan bagaimana rakan arwah bapanya tidak berkongsi kisah sebenar.

Lebih memeritkan lagi, ibu kepada pemilik akaun tersebut terpaksa mencari khidmat menurunkan bapanya menggunakan helikopter kerana rakan arwah tidak mahu bertanggungjawab.

"Melihat tragedi kembali berulang yang mana isteri mangsa lewat diberitahu, ia seperti hal sama berulang dan hanya dari perspektif berbeza. Gunung itu bukannya hendak ke mana, apa salahnya bawa turun mangsa ke lokasi selamat.

"Apa yang tidak boleh saya terima adalah kenapa tiada sesiapa memberitahu ibu saya bahawa pendaki yang pengsan itu papa saya? Kenapa dia ditinggalkan di atas sana?

"Kenapa dia dimandikan di sungai? Kenapa ada individu yang mengambil jam tangan jenama Garmin miliknya? Kenapa tiada yang hadir ketika proses pengebumian?" tulisnya.

Insiden sedemikian tidak sepatutnya berulang kerana kumpulan pendaki perlu menunggu peserta lain dan tidak boleh bersikap pentingkan diri sendiri, lebih-lebih lagi ketika isu sebegitu bangkit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram