KEHILANGAN tragis seorang suami dalam ekspedisi Trans Slim di Gunung Liang, Perak baru-baru ini terus menjadi perbualan hangat terutamanya selepas isteri Allahyarham, Nur Faratin, meluahkan rasa rindu menyayat hati menerusi satu hantaran di media sosial.
Menggunakan akaun TikTok peribadi, Nur Faratin, 30 berkongsi nukilan penuh emosi buat Mustaqqeem Mansoor, 34, yang ditemukan meninggal dunia akibat kesejukan melampau atau hipotermia di puncak gunung tersebut.
"Saya rindu awak abang. Rindu yang tiada penghujung. Al-Fatihah untuk suami saya yang selalu mengutamakan isteri dan keluarga. Tenanglah di alam sana. Terasa bagai mimpi. Namun, sayang reda atas segalanya," tulis beliau dalam kapsyen disertakan gambar arwah suaminya.
BACA LAGI: 'Rumah paling buruk' di AS kini berubah jadi mahligai 'pink' bernilai RM628,000
Hantaran ringkas tetapi menyentuh jiwa tersebut telah mencatatkan lebih 1 juta tontonan dan dipenuhi dengan ribuan komen mengharapkan ketabahan buat Faratin serta mendoakan agar Mustaqqeem ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Di sebalik titipan doa dan kata-kata semangat, pengguna media sosial turut meluahkan rasa terkesan dengan budi pekerti arwah disifatkan sebagai seorang baik dan tidak banyak kerenah.
"Arwah ini rupa dia pun nampak memang baik orangnya. Saya rasa arwah jenis tidak banyak kerenah dan tidak mahu menyusahkan orang sebab itu dia okay sahaja bila sendirian di atas bila orang beritahu hendak minta bantuan, dia tenang dan tunggu sahaja," komen seorang pengguna yang menggunakan nama @Xatie.
Manakala, seorang pengguna lain bernama @Lya Basharuddin menyatakan empati terhadap kesedihan yang dialami Faratin: "Satu isteri yang sedang berduka, seluruh isteri-isteri turut merasai tempiasnya. Kekal dan kuat semangat akak, kami sentiasa doakan akak dalam solat kami moga akak menjalani kehidupan sebaiknya."
Namun, di samping simpati, ruangan komen turut dipenuhi dengan persoalan serius mengenai tindakan rakan-rakan ekspedisi arwah yang didakwa meninggalkan Mustaqqeem berseorangan di puncak Gunung Liang Barat selepas dilaporkan mengalami kekejangan otot.
"Aku pun tengok video pak cik dia ini, isteri dia pula memang teraniaya arwah meninggal dalam keadaan macam itu. Memang sudah ajal dan asbab kematian tetapi aku tidak boleh faham kenapa kawan-kawan dia boleh biarkan dua hari padahal bila sudah sampai bawah boleh sahaja telefon bomba dan polis," soal seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna,@Nraqiera, turut meluahkan rasa kecewa: "Sembilan orang. Kalau mendaki berdua sahaja saya percayalah susah hendak minta bantuan, tetapi itulah manusiakan. Hanya ALLAH yang tahu isi hati niat mereka. Salam takziah puan."
Terdahulu, Mustaqqeem merupakan salah seorang peserta menyertai ekspedisi pendakian Trans Slim dari Bukit Fraser, Pahang menuju ke Gunung Liang, Perak bermula pada 10 Oktober 2025.
Kumpulan seramai 11 orang itu termasuk dua malim gunung.
Tragedi bermula apabila Mustaqqeem dilaporkan mengalami masalah sakit kaki dan pergerakan perlahan ketika tiba di puncak Gunung Liang Barat pada 14 Oktober 2025.
Rakan-rakan lain bersama seorang malim gunung dikatakan turun terlebih dahulu mencari bantuan dan meninggalkan Mustaqqeem bersama seorang lagi malim gunung.
Namun, malim gunung yang tinggal bersama arwah juga dilaporkan turun pada keesokan harinya, meninggalkan Mustaqqeem berseorangan.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mula digerakkan pada 15 Oktober dan akhirnya Mustaqqeem ditemui meninggal dunia pada 16 Oktober.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat hipotermia (kesejukan melampau).
Keluarga arwah dilaporkan tidak berpuas hati dengan situasi tersebut dan telah menyeru pihak berkuasa agar menjalankan siasatan terperinci terhadap rakan-rakan pendakian yang didakwa lambat membuat laporan rasmi dan meninggalkan arwah di puncak gunung tanpa bantuan kecemasan sewajarnya.
Kes ini terus membangkitkan perdebatan tentang etika dan tanggungjawab dalam dunia pendakian.
Isteri arwah Mustaqqeem berkongsi kedukaan atas pemergian suami di Gunung Liang akibat hipotermia, sambil isu tindakan rakan pendakian dipersoalkan orang ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
