MAHKAMAH Sesyen Seremban pada Khamis menangguhkan perbicaraan kes seorang bekas guru lelaki yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun 10 bulan di sebuah sekolah menengah di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan pada Julai lalu.
Kesalahan itu didakwa berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi pada 26 Julai 2025 di dalam bilik asrama sekolah berkenaan.
Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan bahawa pihak pengadu telah menarik balik laporan polis dan mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi menentukan sama ada kes berkenaan akan digugurkan.
BACA LAGI: Tiada lagi nikmat diskaun saman, JPJ dan PDRM perkenal konsep ‘bayar awal lebih murah’
Tertuduh, Wan Mohamad Aliff Wan Mohd Sofian,26, diwakili peguam dari firma Aimee & Zaim Arif, Iman Azhar yang memohon agar kes digugurkan susulan perkembangan terbaharu itu.
“Hari ini mahkamah diberitahu bahawa pihak pendakwaan telah menerima makluman mengenai penarikan balik laporan polis oleh pengadu.
"Maka, tarikh 5 November ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi menentukan sama ada ia akan digugurkan atau diteruskan, bergantung kepada dapatan daripada Pejabat Pendakwaan Negeri,” katanya selepas prosiding.
Sebelum ini, tertuduh yang merupakan bekas guru praktikal mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim N. Kanageswari atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun 10 bulan.
Kes itu kini menunggu keputusan mahkamah sama ada akan diteruskan atau digugurkan pada sebutan semula 5 November depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
