
PERSEMBAHAN meyakinkan ditampilkan Selangor FC ketika bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu untuk suku akhir pertama Piala FA 2025/26.
Hasilnya, skuad Gergasi Merah mudah mencetak empat gol dengan dua daripadanya dicetak Faisal Halim sementara Chrigor Moraes dan Zach Clough turut berada dalam senarai penjaring.
Keputusan tersebut sekali gus mengecilkan peluang skuad Jang untuk ke pusingan separuh akhir memandangkan pasukan bimbingan Christopher Gamel itu beraksi cemerlang di laman sendiri.
BACA LAGI: Sejarah mungkin berulang di Paroi andainya Gergasi Merah tak buang 'penyakit lama'
Skuad Gergasi Merah mudah menjinakkan Negeri Sembilan FC dalam suku akhir pertama Piala FA. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, ia bukanlah satu-satunya kerisauan buat Negeri Sembilan FC yang pada awal musim lalu diangkat sebagai pakej kejutan Liga Super setelah mencetak tiga gol ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Ini kerana sebelum tewas kepada Selangor FC, skuad Jang turut mengalami kekalahan ketika bertandang ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang untuk berdepan Penang FC.
Prestasi merisaukan itu dikhuatiri akan memberi kesan hebat terhadap jumlah kehadiran penyokong ke Stadium Tuanku Abdul Rahman yang tidak pernah sunyi sejak permulaan musim.
"Mungkinkah akan kosong kembali selepas ini? Sedih dimalukan malam tadi (Sabtu) masih berlagu dalam minda sekalian yang setia. Tetapi, itulah hakikat dengan lambakan pemain cedera dan digantung.
"Apa kita boleh jangka dari perlawanan itu adalah untuk teruskan kebangkitan atau penyokong mula menjuahkan diri, itulah apa yang dirisaukan. Nak tengok penyokong yang betul-betul setia, kita tunggu ketika berdepan PDRM FC pada Sabtu depan," kata State of Nine FC.
Puluhan ribu peminat menyaksikan persembahan mengecewakan skuad Jang ketika berdepan Selangor FC. — Facebook/Negeri Sembilan FC
"Sepatutnya main di laman sendiri tidak boleh kalah sampai 0-4 kerana di hadapan penyokong sendiri. Ini boleh menyebabkan penyokong putus asa atas gaya permainan yang tidak sepatutnya berlaku sebegitu," kata Din Bazooka.
"Setia kita tetap setia, tetapi bila ramai datang tolonglah bermain dengan elok-elok. Kalah tidak mengapa, tapi main menghampakan, siapa tak marah. Melawan lah sikit, macam baru dua hari bermain bola," kata Walak On Onn.
Jumlah kehadiran penyokong ke Stadium Tuanku Abdul Rahman musim ini amat memberangsangkan dengan hanya perlawanan menentang PDRM FC yang tidak menyaksikan puluhan ribu penonton hadir ke venue berkenaan.
Ia merupakan petanda yang baik kerana secara tidak langsung, keghairahan peminat kembali ke arena bola sepak tanah air dengan stadium lain turut dibanjiri penyokong.
Namun, seperti mana ditegaskan peminat, konsistensi perlu ditonjolkan setiap pasukan sekiranya mengharapkan jumlah sebegitu dapat dikekalkan hingga penghujung musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram