‘Cukuplah luka di SSI-Paroi’, fans The Rhinos awal-awal sudah ‘angkat bendera putih’ menjelang Derby Borneo


  • Podium
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Kuching City akan bertandang ke Stadium Likas pada Sabtu bagi aksi saingan Liga Super menentang The Rhinos.

WISEL sepak mula belum pun ditiup, namun sebahagian penyokong Sabah FC dilihat sudah ‘angkat bendera putih’ menjelang aksi getir Derbi Borneo menentang Kuching City FC di Stadium Likas, Sabah pada Sabtu.

Hal ini kerana, pertemuan itu bukan sekadar perlawanan Liga Malaysia biasa namun membawa misi lebih besar iaitu menentukan pasukan manakah yang bakal bergelar Raja Bola Sepak Borneo musim ini.

Berdasarkan rekod lalu, kelebihan jelas memihak kepada The Rhinos yang menumbangkan Kuching City dalam tujuh pertemuan berturut-turut sejak 2022.

BACA LAGI: [VIDEO] Bintang Liga A1 letakkan diri dalam senarai eksklusif, gegar JDT lepas hampir digugur

BACA LAGI: [VIDEO] Lambat jumpa rentak, bintang Liga Super tampil debut 'mengerikan'

Sebahagian sesi latihan akhir Sang Badak menjelang aksi getir bertemu Kuching City FC.  Facebook/sabahfc

Ketika itu, Kuching City dilihat tidak lebih sekadar pelengkap jadual dalam derbi berkenaan.

Namun, musim 2025/2026 membawa naratif berbeza kerana di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak, Kuching City tampil dengan aksi konsisten dan meyakinkan dengan tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dalam lima perlawanan awal musim.

Sebaliknya, kem Sabah FC kini bergelora kerana pasukan yang dikendalikan pengendali baharu, Jean-Paul de Marigny masih gagal mencatat sebarang kemenangan musim ini, hanya tiga seri dan dua kekalahan.

Lebih membimbangkan, dua kekalahan besar berturut-turut dibelasah 0-8 oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 21 September, diikuti kekalahan 0-3 kepada Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi mengundang kekecewaan mendalam 'ekor' The Rhinos.

Situasi itu menjadikan ramai penyokong kini enggan meletakkan harapan tinggi, malah ada yang secara terbuka menyindir prestasi semasa pasukan di media sosial.

“Jangan dicipta lagi sejarah luka, cukup-cukuplah dengan keputusan mengecewakan di Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Paroi,” kata Ah Mie.

“Biar kalah, asalkan jangan lagi kena belasah teruk dengan Kuching City,” ujar Damasius Justin Jimmy pula.

“Teruskan momentum kekalahan, Sabah FC pasti boleh,” tulis Ervin Darna Wahyudi.

Derbi Borneo kali ini bukan sekadar tentang tiga mata, ia juga ujian maruah dan harga diri buat Sabah FC di hadapan penyokong sendiri.

Kini persoalannya, mampukah The Rhinos bangkit menamatkan kemarau kemenangan atau adakah episod kekalahan kembali berdarah di Likas?. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram