
SEORANG pelajar sekolah menengah dari Jepun mencuri perhatian ramai di Science Castle Asia 2025 selepas membentangkan kajian yang dianggap antara paling kompleks dalam edisi kali ini.
Pelajar berkenaan, Hikaru Kuribayashi Abd Rahim dari Sekolah Menengah Sapporo Kaisei yang berasal daripada keluarga Muslim Jepun mengkaji mekanisme sambungan (linkage mechanism) dengan menggunakan Markov Chain Monte Carlo (MCMC) yang dipertingkat melalui algoritma kuantum.
Kajian Hikaru berfokus kepada usaha mensimulasikan pergerakan kompleks dalam alam semula jadi seperti kepakan sayap kumbang yang bergerak dalam sistem sambungan harmoni apabila satu bahagian bergerak, bahagian lain turut bertindak balas secara serentak.
BACA LAGI: [VIDEO] Dua beradik di Taiping gigih bantu ibu, promosi gerai nasi lemak ala-ala 'influencer'
Namun, pergerakan ‘lembut’ seperti itu amat sukar untuk digambarkan secara matematik.
Menariknya, Hikaru menggunakan prinsip origami iaitu seni lipatan kertas Jepun bagi memahami hubungan mekanikal antara bahagian yang saling mempengaruhi seperti bunga yang menguncup dan mengembang.
Dia juga mencadangkan satu kaedah pengiraan kebarangkalian baharu untuk menganalisis mekanisme sambungan tersebut yang berpotensi menghasilkan simulasi pergerakan sayap semula jadi lebih tepat.
Penemuan itu boleh dimanfaatkan dalam pembangunan robot burung, teknologi aerodinamik, malah panel solar satelit yang boleh menyesuaikan bentuknya mengikut pergerakan cahaya.
Lebih mengagumkan, Hikaru mempelajari pengaturcaraan komputer kuantum secara kendiri dan bercita-cita untuk menggabungkan bidang matematik tulen, pengkomputeran kuantum dan kejuruteraan mekanikal dalam kajian lanjutannya pada masa depan.
Konsep berhubung kuantum fizik sememangnya sukar untuk dijelaskan terhadap masyarakat secara umum, namun terma itu kerap diguna pakai dalam filem sains fiksyen terutamanya dalam dunia Marvel.
Ini membuatkan ramai berpandangan bahawa Hikaru pastinya terlibat dalam program 'Protege Tony Stark' yang pernah dipopularkan dalam siri Iron Man kerana konsep kuantum amat ditekankan dalam filem-filem berkaitannya.
Program Science Castle Asia 2025 yang ditaja oleh Ajinomoto (Malaysia) Berhad itu bertujuan memupuk semangat saintifik generasi muda di rantau Asia dengan memberi ruang kepada pelajar mempersembahkan hasil penyelidikan mereka di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, sebanyak 321 pasukan penyelidik dari 10 buah negara menyertai program Science Castle Asia 2025 dengan tujuan memperkasakan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan belia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram