'Selamatkan periuk sendiri', kes di Melaka 'buka' kisah guru serik memanusiakan pelajar


  • Massa
  • Isnin, 13 Okt 2025

Kuasa guru untuk mendisiplinkan murid semakin terhad pada hari ini. — Gambar hiasan

KES salah laku seksual melibatkan empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke atas pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah dekat Alor Gajah, Melaka menceritakan isu disiplin yang semakin menjadi-jadi ketika ini.

Masalah itu turut dicerminkan menerusi pelbagai kes buli dilaporkan kebelakangan ini sehingga menyebabkan kematian seperti dialami arwah Zara Qairina Mahathir dan seorang murid Tahun Empat di Senawang, Negeri Sembilan.

Bagi orang ramai, isu disiplin murid semakin sukar dibendung kerana guru tidak lagi diberikan kuasa untuk mengambil tindakan, terutamanya membawa rotan.

BACA LAGI: Murid Tahun 4 maut dekat sekolah di Senawang: Takiyuddin dakwa miliki maklumat

BACA LAGI: Teknologi jadi perisai, KPM boleh cuba 3 peranti moden bantu cegah pelajar dibuli

Guru tidak lagi mempunyai sebarang kuasa untuk merotan anak murid secara terbuka. — Gambar hiasan

Larangan itu mula diguna pakai pada awal Februari lalu dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan hanya guru besar dan mereka yang diberi kuasa boleh berbuat demikian.

Ketetapan terbabit jelas menyukarkan warga pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar yang semakin sukar untuk dikawal sehingga menyebabkan pelbagai isu akhlak disebut-sebut di media sosial.

Malah, sesetengah guru yang pernah membentuk disiplin anak murid tampil meluahkan perasaan kerana niat berbuat demikian kerap disalah erti kerana pada akhirnya, mereka dipersalahkan.

Luahan tersebut dikongsikan dalam ruangan komen Facebook susulan kes salah laku seksual ke atas pelajar Tingkatan Tiga itu dilaporkan dengan masing-masing kini hanya mahu menjaga karier sendiri.

"Saya dah tak berani untuk marah pelajar, saya nak selamatkan diri. Pelajar hanya sekejap dalam hidup saya, tetapi keluarga lebih perlukan saya," ujar seorang pengguna dipercayai guru yang namanya disembunyikan.

Guru pada hari ini lebih fokus untuk menjaga hal sendiri kerana risau akan terus dipersalahkan. — Gambar hiasan

"Saya antara guru yang pernah ke balai polis kerana cuba memanusiakan murid. Cukup sekali, tidak mahu berulang lagi. Sekarang, saya pilih untuk menyelamatkan periuk nasi sendiri," kata seorang lagi pengguna Facebook.

"Tiga tahun lalu, suami saya guru disiplin. Dia marah murid Tahun Enam kerana bawa dan hisap vape di sekolah. Malam itu, kami terima panggilan dari ibu pejabat polis daerah (IPD) kerana ibu bapa murid berkenaan tidak berpuas hati dan buat laporan.

"Pukul 1 pagi suami saya perlu ke IPD untuk minta maaf kepada ibunya. Terpaksa bawa sekali anak-anak, termasuk yang orang kelainan upaya (OKU) kerana tiada orang lain di rumah," luah salah seorangnya lagi.

Kes melibatkan guru ditahan kerana mengambil tindakan disiplin tidak lagi asing kerana minggu lalu, dua warga pendidik ditahan kerana mengakibatkan kecederaan menggunakan rotan.

Laporan tersebut mencerminkan kesukaran guru untuk membentuk sahsiah anak murid yang pada akhirnya akan menimbulkan lebih banyak masalah disiplin jika tidak dikawal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram