Salah laku seksual di Melaka: MCMC gesa media lapor secara beretika, elak ganggu emosi mangsa


  • Kes
  • Ahad, 12 Okt 2025

MCMC mengingatkan agensi media supaya tidak mendedahkan maklumat berhubung identiti mangsa.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa media agar melaporkan kejadian salah laku seksual melibatkan pelajar di Melaka secara beretika dan bertanggungjawab.

Menerusi satu kenyataan pada Ahad, MCMC menegaskan agar kandungan sensasi berkaitan kes itu tidak disiarkan kerana boleh menjejaskan siasatan selain memberi tekanan emosi kepada mangsa.

"Pengamal media juga diingatkan supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat sensitif yang boleh menyebabkan identiti mangsa dikenal pasti, selaras dengan larangan dalam Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].

BACA LAGI: Kes Zara Qairina: Hormati prosedur, bukan cipta naratif awal tanpa siasatan lengkap — Peguam

BACA LAGI: Bayi 3 bulan dirogol, video dirakam, dijual — Saifuddin

Kes tersebut difahamkan berlaku di sebuah sekolah sekitar Alor Gajah, Melaka. Gambar hiasan

“Orang ramai turut diingatkan bahawa tindakan menyebar atau mengedarkan video atau bahan sedemikian menerusi perkhidmatan dalam talian boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya.

MCMC turut menekankan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan pihak polis serta penyedia perkhidmatan bagi memastikan sebarang kandungan yang berpotensi mengganggu siasatan atau menjejaskan emosi mangsa dapat diturunkan daripada platform media sosial.

Pada Sabtu, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga dirogol bergilir-gilir empat pelajar seniornya dalam kejadian pukul 2.50 petang pada 2 Oktober lalu dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka.

Lebih menjijikkan, perbuatan itu dirakam mengguna telefon bimbit oleh dua daripada suspek.

Insiden tersebut terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua suspek yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan direman enam hari hingga Khamis depan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan dengan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari 10 tahun namun tidak melebihi 30 tahun jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram