
HARI ini, kecanggihan kecerdasan buatan (AI) semakin memukau apabila teknologi tersebut dapat membantu memudahkan tugasan seseorang dalam pelbagai bidang.
Namun, seperti mana semua teknologi dihasilkan, ia boleh membawa kepada kemudaratan sekiranya tidak digunakan dengan betul atau dijadikan bahan jenaka tanpa sempadan.
Ini termasuk menggunakan kecanggihan AI sebagai gurauan yang ketika ini kerap kali digunakan dalam media sosial dengan menghasilkan imej buatan untuk memperdayakan seseorang.
BACA LAGI: Belanjawan MADANI 2026: Peruntukan TVET naik kepada RM7.9 bilion, terap ilmu digital AI
BACA LAGI: Pernah tidur atas sofa, jutawan terkenal AS masih basuh baju sendiri, obses dengan AI
Pengguna media sosial kerap menjadikan AI sebagai bahan jenaka untuk mengusik orang sekeliling. — Gambar hiasan
Meskipun pada awalnya jenaka tersebut boleh menjadi hiburan, sesetengah pengguna media sosial akan terpedaya dan jika gagal membezakan antara yang benar dan sebaliknya, teknologi tersebut boleh membawa padah.
Pandangan tersebut dikongsikan menerusi akaun Facebook Hariz Ridhauddin yang gusar sekiranya kecanggihan AI boleh membawa padah jika terus digunakan sebagai bahan lawak.
Jelasnya, trend menggunakan teknologi itu sebagai bahan jenaka semakin melampau apabila sesetengah pengguna mencipta situasi cemas seperti kemalangan dan diculik untuk mencetuskan rasa risau dalam kalangan keluarga.
"Semasa saya tengok, sumpah tak rasa kelakar pun. Saya rasa takut kerana yang kena bukan orang lain (tetapi) ibu bapa sendiri. Bayangkan mak tengah lipat baju, tiba-tiba dapat panggilan suara anak menangis kerana ditimpa kemalangan.
"Jantung terus berdegup laju. Dia tak fikir dah logik ke tak yang dia tahu, itu suara anak dia. Dia terus panik, terus capai kunci kereta, terus pandu seperti orang gila nak selamatkan darah daging sendiri," tulisnya.
Kemalangan boleh berlaku sekiranya ibu bapa berasa cemas akan nasib dialami anak-anaknya yang melakukan gurauan. — Gambar hiasan
Perkongsian pengguna Facebook itu disertakan beberapa bentuk gurauan menggunakan AI yang mana pengguna akan menghasilkan imej realistik untuk memperdayakan orang sekeliling.
Gurauan sebegitu boleh memperdayakan individu yang kurang celik teknologi dan pada akhirnya hanya akan menimbulkan rasa cemas yang boleh mengakibatkan kesan buruk.
"Mak ayah kita umur 50, 60 tahun dan mereka bukan “tech native”. Mereka tak faham 'deepfake', tak faham 'voice cloning'. Yang mereka tahu, cuma suara tu suara anak mereka dan ketika itu, trauma itu sesuatu yang betul.
"AI ini bukan mainan. Ia alat yang hebat dan kalau diguna betul, ia bantu jadikan dunia lebih mudah. Tetapi kalau kita salah guna, ia jadi bom psikologi," tulisnya lagi.
Pandangan pengguna Facebook itu disokong orang ramai di ruangan komen yang berpandangan teknologi AI merupakan sesuatu yang boleh membawa manfaat dan mudarat berdasarkan cara penggunaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram