ANUGERAH ESG Positive Impact (PIA) kembali dengan misi yang lebih mantap tahun ini.
Dengan tema 'Meraikan ESG melalui Tindakan: Dari Visi hingga Nilai', anugerah berprestij itu memberi tumpuan kepada syarikat yang bukan sahaja komited terhadap amalan kelestarian, malah membuktikan hasilnya, daripada usaha mengurangkan jejak karbon hingga memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Kini memasuki edisi keempat, ESG PIA menjadi penanda aras kecemerlangan dalam bidang kelestarian.
BACA LAGI: Strategi ESG untuk PKS: Bagaimana PKS jana penjimatan, tarik pelabur
BACA LAGI: Usaha ke arah memperhebatkan lagi agenda ESG di seluruh Asia

Chan berkata, kejayaan sesebuah perniagaan kini tidak lagi diukur semata-mata melalui keuntungan, tetapi turut dinilai berdasarkan tujuan, kemajuan dan impak yang dibawa.
Diperakui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), serta diaudit secara bebas oleh EY Malaysia, anugerah tersebut menegaskan bahawa matlamat dan keuntungan boleh bergerak seiring.
“Di seluruh Malaysia, definisi kejayaan sedang berubah. Perniagaan kini tidak lagi diukur berdasarkan keuntungan semata-mata, tetapi melalui tujuan, kemajuan dan impak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group (SMG), Chan Seng Fatt.
Menurut beliau, ada syarikat yang meneroka kaedah inovatif bagi memelihara sumber dan melindungi alam sekitar, manakala yang lain melabur secara bermakna terhadap pembangunan komuniti sekali gus membuka peluang dan memperkasa kehidupan.
“Setiap tindakan, sama ada kecil atau besar, membawa kita lebih dekat kepada masa depan di mana kelestarian bukan lagi cita-cita, tetapi cara hidup.
“Anugerah ESG PIA diwujudkan bagi meraikan semangat kemajuan ini.
“Ia mengingatkan kita bahawa kejayaan tidak boleh lagi diukur dengan keuntungan semata-mata, tetapi juga nilai yang dijunjung, pilihan yang dibuat dan kesan peninggalan kita,” ujar Chan.
Perjalanan Melibatkan Komuniti dan Pemimpin Industri
Menjelang malam anugerah, beberapa siri sesi perbincangan berprofil tinggi akan diadakan bagi menghimpunkan pemimpin korporat dan tokoh industri paling progresif negara.
Program itu akan bermula 18 November dengan sesi eksklusif Power Breakfast di Petaling Jaya meliputi dialog antara pemimpin perniagaan, pengawal selia dan pakar kelestarian.
Melalui ESG ByteTalks dan panel perbincangan, sesi itu akan meneliti bagaimana strategi kelestarian dapat memacu keuntungan, reputasi dan peluang baharu melalui amalan rendah karbon.

Penganjuran ESG PIA pada 2023. — GLENN GUAN/The Star
Menyedari pertumbuhan pesat pemain kelestarian di utara tanah air, SMG turut akan menganjurkan sesi Power Breakfast kedua di Pulau Pinang, membuka ruang kepada pengeluar, pengeksport serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk turut serta.
Satu lagi acara tumpuan ialah ESG Winners Showcase, yang menampilkan penerima anugerah terdahulu berkongsi kajian kes mengenai bagaimana pendekatan ESG mempercepatkan transformasi dan meningkatkan daya saing mereka.
Sesi-sesi berkenaan akan dilengkapi dengan klinik maya berfokus, yang memberi panduan kepada syarikat tentang cara menulis borang penyertaan dengan lebih berkesan untuk menonjolkan impak ESG mereka.
Kerjasama bermatlamat
Buat julung kalinya, Telekom Malaysia Berhad (TM) tampil sebagai penaja utama, menekankan peranan teknologi dalam memperkasa pertumbuhan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, “Ketika menuju untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030, kami sedang membina ekosistem digital yang bukan sahaja memacu pertumbuhan perniagaan dan inovasi, tetapi juga memperkasa kehidupan serta komuniti di seluruh negara.
“Sokongan kami terhadap ESG Positive Impact Awards mencerminkan keyakinan bahawa teknologi harus berkhidmat untuk tujuan lebih besar.
"Ia dengan menghubungkan manusia, merapatkan jurang dan membuka peluang agar semua pihak dapat berkembang dalam ekonomi digital,” katanya.

Amar menegaskan teknologi harus berperanan lebih besar dengan menghubungkan manusia, merapatkan jurang dan membuka peluang baharu untuk semua.
Beliau menambah, inisiatif seperti pusat data hijau berkecekapan tenaga, penyelesaian bandar pintar, pengkomputeran awan berdaulat (sovereign cloud) dan GPU-as-a-Service membuktikan bahawa inovasi dan kelestarian boleh berjalan seiring.
“Melalui Jangkau Digital TM, kami memperluas keterangkuman digital ke kawasan luar bandar, manakala TM Future Skills melatih generasi muda Malaysia menjadi pemimpin digital masa hadapan.
“Kerjasama bersama The Star ini bertujuan memberi inspirasi kepada organisasi pelbagai saiz daripada korporat hingga PKS untuk menjadikan kelestarian sebagai teras dalam amalan mereka,” jelas Amar.
IJM Rimbayu: Kelestarian Sebagai Teras Pembangunan
Penaja bersama, IJM Rimbayu, turut berkongsi aspirasi yang sama dengan menonjolkan bagaimana nilai ESG membentuk pembangunan perbandaran dan komuniti masa depan.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon memberi penekanan bagaimana nilai ESG membentuk pembangunan perbandaran dan komuniti yang bersedia menghadapi masa depan.
“Di IJM Land, kejayaan sejati melangkaui pulangan perniagaan; ia diukur melalui pengaruh positif terhadap pelanggan, rakan kongsi dan komuniti.
“Sokongan kami terhadap ESG PIA lahir daripada keyakinan ini.
“Dengan mengiktiraf dan meraikan amalan terbaik, anugerah ini menonjolkan bagaimana nilai ESG dapat mendorong perubahan yang bermakna serta menginspirasi kemajuan bersama ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan,” jelasnya.

Chai berkata, dengan mengiktiraf dan meraikan amalan terbaik, anugerah ESG PIA menonjolkan bagaimana nilai ESG mampu memacu perubahan bermakna dalam masyarakat dan industri.
Beliau menambah projek IJM Rimbayu adalah contoh jelas bagaimana transformasi daripada tanah terbiar kepada bandar lestari seluas 760.41 hektar kini menjadi kediaman kepada lebih 20,000 penduduk.
Dengan pembangunan baharu seperti ROAM (hab komersial generasi baharu) dan District 28 (pusat perniagaan premium), IJM terus menerapkan prinsip ESG dalam setiap peringkat pembinaan.
“Melalui penajaan ini, kami berhasrat mempercepatkan inovasi dan peralihan industri ke arah masa depan rendah karbon sejajar dengan strategi R2O (Reduce to Net-Zero, Resilience in a Net-Zero World) kami,” katanya.
Usaha kolektif itu turut diperkukuh melalui kerjasama dengan rakan institusi seperti Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan (SDSN) dan Pusat Pembangunan Mampan Jeffrey Sachs, di samping organisasi tempatan termasuk Pusat Kecemerlangan Anti-Rasuah, Majlis Pembangunan Mampan Perniagaan Malaysia dan Climate Governance Malaysia.
Mengiktiraf Impak, Menginspirasi Perubahan
Kemuncak kepada keseluruhan program itu ialah Malam Anugerah ESG Positive Impact yang akan mengiktiraf kepimpinan dalam 16 kategori termasuk pemuliharaan biodiversiti, pengurusan air, tadbir urus, inovasi dan kecemerlangan sektor.
Anugerah tersebut direka untuk menghargai organisasi pelbagai saiz yang menetapkan piawaian baharu bagi kelestarian di Malaysia dan rantau ini.
“Bersama rakan strategik kerajaan, industri dan komuniti perniagaan, kami sedang memupuk satu gerakan yang menggalakkan kolaborasi, memacu inovasi dan memperkasa tindakan berani,” kata Chan.
Pada masa sama Chan mennggesa semua pihak menjadi sebahagian daripada usaha ke arah kelestarian.
“Saya mengajak semua untuk turut serta dalam perjalanan ini. Kongsikan kisah anda, jadilah sumber inspirasi, dan pimpinlah dengan penuh visi serta rendah diri.
"Inilah masanya untuk kita melangkah bersama membina legasi lestari yang akan menjadi kebanggaan generasi akan datang,” katanya.
Maklumat lanjut dan penyertaan boleh didapati di https://staresgawards.com.my. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
